Thursday 8 September 2011

Juruwang Ugut Sebar Gambar Bogel Kenalan Dipenjara 11 Bulan

KUALA LUMPUR: Perbuatan tidak bermoral seorang juruwang kafe Internet yang memiliki dan mengugut mahu menyebarkan gambar bogel kenalan wanitanya yang dikenali menerusi laman sosial Facebook, Jun lalu, menerima padah apabila dia dihukum penjara 11 bulan dan denda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.


Majistret Abdullah Siddiq Mohd Nasir menjatuhkan hukuman itu selepas Muhamad Sukri Kassim, 20, mengaku bersalah terhadap pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Terdahulu, beliau yang menjatuhkan hukuman penjara 19 bulan bagi kedua-dua pertuduhan, memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula hari ini (semalam) selain mengarahkan tertuduh dikenakan tambahan penjara 12 bulan sekiranya gagal menjelaskan denda.


Muhamad Sukri yang berada dalam kandang tertuduh hanya mampu menundukkan wajah ketika mendengar hukuman itu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang berasal dari Segamat, Johor didakwa melakukan ugutan mahu menyiarkan gambar bogel seorang wanita berumur 21 tahun itu jika tidak mengikut arahannya pada 15 Jun lalu.


Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.



Bagi pertuduhan kedua, Sukri didakwa memiliki gambar dan video lucah mangsa yang disimpan di dalam telefon bimbit miliknya. Kesalahan yang dilakukan di rumah mangsa di Shah Alam, Selangor di sini pada jam 4.30 petang, 16 Jun lalu itu didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Difahamkan gambar bogel itu dihantar mangsa menerusi telefon bimbitnya kepada telefon bimbit tertuduh.



Terdahulu, Sukri yang tidak diwakili peguam memohon dikenakan hukuman ringan kerana ibu bapanya menghidap penyakit serius termasuk sakit jantung, kencing manis dan darah tinggi. “Saya sudah insaf Yang Arif, mohon diberikan peluang kedua,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Rozana Hussin memohon tertuduh dikenakan hukuman berat kerana perbuatan tertuduh adalah jenayah serius yang membabitkan kepentingan awam.


“Sekiranya gambar-gambar itu berjaya disebarkan di Internet, ia boleh mendedahkan keaiban wanita itu kepada masyarakat,” katanya.

No comments:

Post a Comment