Wednesday 28 September 2011

Konstabel tertembak tembus peluru dikepala diri sendiri kini stabil


KAJANG: Seorang anggota polis berpangkat Konstabel yang cedera parah di bahagian kanan kepalanya akibat tertembak semasa ingin membersihkan pistolnya selepas tamat bertugas, kelmarin, kini dipindahkan dari Hospital Kajang (HK) ke Unit Neurologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), pagi semalam.

Mangsa, Syaiful Nizam Zamaluddin, 24, kini dilaporkan stabil selepas menjalani pembedahan dan sehingga kini masih bergantung kepada alat bantuan pernafasan selain memerlukan pemantauan rapi daripada doktor pakar.


Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, polis kini membuka kertas siasatan Inkuiri Polis kerana kecuaian semasa bertugas.

“Polis akan mengambil keterangan daripada mangsa sebaik sedarkan diri dan mampu bercakap kerana buat masa ini, mangsa masih tidak sedarkan diri tapi berada dalam keadaan stabil,” katanya.


Harian Metro dalam edisi iPad semalam melaporkan seorang anggota polis berpangkat konstabel yang baru selesai bertugas di bahagian rondaan tugas am cedera parah di kepala apabila revolver .38 miliknya tiba-tiba meletup dan tepat mengenai bahagian kanan kepalanya.


Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 7.50 malam itu, mangsa, Syaiful Nizam sedang mengosongkan peluru revolvernya itu selepas tamat bertugas. Ab Rashid berkata, ketika kejadian, mangsa sedang membersihkan senjatanya bersama lapan anggota lain.

No comments:

Post a Comment