Friday 30 September 2011

Mek Wook Kondor Ditimpa Musibah Lagi

KUALA BERANG: “Saya tak tahu kepada siapa lagi nak mengadu, lepas satu-satu dugaan menimpa sehingga buntu memikirkannya.

“Sudahlah tidak dapat pergi ke Tanah Suci dan sehingga kini belum dapat duit semula, sekarang masalah baru pula timbul apabila tanah diduduki atas nama isteri sejak 50 tahun lalu sudah bertukar milik dan dijual kepada orang lain tanpa pengetahuannya,” kata Mohd Noor Musa, 39, suami kepada wanita tertua Terengganu, Mek Wook Kondor, 108.


Menurutnya, kegembiraan menyambut Aidilfitri di kampungnya di Tanah Merah, Kelantan hampir sebulan berakhir episod hitam sebaik kembali ke rumahnya di Kampung Bukit Tok Bat, Hulu Terengganu, tiga hari lalu.

“Rabu lalu, seorang lelaki datang ke rumah memberitahu dia sudah membeli tanah ini pada harga RM55,000 daripada seorang ahli keluarga isteri dan meminta kami segera mengosongkan rumah kerana ia sudah bertukar milik.


“Namun apabila saya bertegas memberitahu tanah ini sah milik isteri sambil menceritakan kisah sebenar dia meneroka tanah berkenaan dan membina sebuah rumah yang kini dijadikan rumah sewa di sebelah rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) didiami sekarang, lelaki berkenaan terkedu dan termenung seketika.


“Apabila ditanya semula jika benar tanah ini sudah bertukar milik dan buktinya, dia memberitahu sudah membayar wang kepada seorang ahli keluarga isteri dan tidak memberi sebarang tempoh bila kami perlu keluar dari rumah ini,” katanya.

Sementara itu, Mek Wook berkata, dia yang meneroka tanah itu sejak berhijrah dari kampungnya di Bachok, Kelantan 50 tahun lalu tidak pernah menukar hak milik tanah, jauh sekali menjual hartanah dimiliki hasil kudratnya itu.


Dia mendakwa beberapa tahun sebelum berkahwin dengan Mohd Noor pada 2005, ada seorang ahli keluarga membawanya ke Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Terengganu, di sini, untuk urusan pengukuran semula sempadan tanah didiaminya dan memintanya menurunkan cap ibu jari di sebuah dokumen sebagai tanda pengesahan.

Katanya, dia yang tidak mengesyaki apa-apa ketika itu hanya menuruti permintaan berkenaan tanpa mengetahui jenis dokumen terbabit.


“Apabila fikir semula, saya terkejut dan tidak sangka ahli keluarga sendiri sanggup bertindak begitu sedangkan saya masih hidup dan tidak menyusahkan mereka pun kerana masih boleh berdikari dan mempunyai suami.


“Kalau betul tanah ini sudah dijual dan saya perlu keluar rumah, saya tidak tahu di mana hendak berpindah dan bagaimana nasib saya selepas ini. “Saya harap ada pihak menyemak semula status jual beli tanah atau membantu menyediakan rumah baru untuk kami,” katanya.

No comments:

Post a Comment