Thursday 8 September 2011

Padah Pijak Isteri, Suami Didenda RM800

PETALING JAYA: “Kamu tidak boleh mengambil tindakan sendiri (memukul isteri), sebaliknya menyerahkan kepada polis untuk mengambil tindakan,” kata Majistret Surya Wati Shawal di Mahkamah Majistret di sini, semalam.


Beliau berkata demikian sebelum menjatuhkan hukuman denda RM800 atau penjara sebulan jika gagal membayar denda, terhadap T Sivaraman, 39, seorang pemandu lori yang mengaku bersalah atas tuduhan mencederakan isterinya dengan memijak bahagian belakang wanita itu, Sabtu lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap M Paraweswari, 47, di bernombor D315, Blok D, Pangsapuri Seri Cempaka, Puchong di sini pada jam 11.30 malam, 3 September lalu.


Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang diminta untuk menjelaskan kepada mahkamah punca dia berbuat demikian memberitahu bahawa mangsa yang juga isteri daripada perkahwinan keduanya memukul dua anaknya hasil perkongsian hidup bersama isteri pertama yang sudah meninggal dunia.


Sebelum menjatuhkan hukuman, Surya Wati menasihatkan tertuduh tidak mengambil tindakan sendiri sebaliknya menyerahkan kepada polis untuk mengambil tindakan.



Sementara itu, di mahkamah sama, seorang pekerja kilang dilepas tanpa dibebaskan daripada tuduhan memukul isterinya sehingga menyebabkan cedera parah di mata sebelah kiri.

Surya Wati membuat keputusan demikian selepas Juli Agustini, 34, yang juga warga Indonesia menarik balik laporan polis yang dibuat terhadap suaminya.



Tertuduh, Mohd Rozeman Mohd Yusoff, 33, didakwa melakukan perbuatan itu di rumah bernombor 0606, Blok 9, Pangsapuri Subang Hijauan Jalan Bintang U5/33, Seksyen U5 Shah Alam, di sini, pada jam 11 pagi, 2 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh didenda.


Pendakwaan kedua-dua kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Ravindran.

No comments:

Post a Comment