Friday 30 September 2011

Shahir menafikan akan bersara

KUALA LUMPUR: Penyanyi Ahmad Shahir Zawawi (Shahir AF8) atau lebih dikenali sebagai Shahir AF8 menafikan bersara dari industri hiburan tempatan sebaliknya hanya berehat sementara dari segala aktiviti seni.

Shahir berkata, dia membuat keputusan untuk bercuti selama tiga bulan selepas mengalami kecederaan patah tangan selepas terjatuh di bilik air pada Jun lalu.

"Saya tidak pernah berkata untuk berhenti dari industri ini, malah saya memang meminta cuti dengan pihak Astro selama tiga bulan dan mereka meluluskannya.

"Dalam tempoh tersebut saya hanya berehat di kampung halaman di Perak dan menghabiskan masa bersama keluarga," katanya yang membuat kemunculan pertama di rumah terbuka Astro, di sini, Rabu.

Dalam pada itu, Shahir turut menjelaskan kehilangannya bukan kerana tidak tahan terhadap penganiayaan dan penindasan pihak tertentu seperti dikhabarkan sebelum ini.

"Banyak khabar angin yang keluar media ketika saya bercuti, kenyataan sebenarnya bukan saya sengaja untuk membuat gimik seperti ini tetapi kerana sebab tertentu.

"Semua yang berlaku sudah tertulis dan saya anggap ia seperti satu perjalanan kehidupan dan bukan sesuatu yang saya rancang sendiri," katanya.

Selain itu, Shahir turut menolak dakwaan dia menyertai kumpulan tabligh dan ditemui dalam keadaan berjambang dan tidak terurus.

"Saya tidak pernah menyertai mana-mana kumpulan tabligh seperti yang didakwa, jika ada yang mungkin ternampak saya dalam keadaan selekeh itu sebenarnya diri saya ketika di luar.

"Saya lebih suka bergaya sederhana ketika berada di luar, mungkin mereka tidak pernah nampak saya berpakaian begitu," katanya.

Sementara itu, bercerita tentang perkembangan terbaru, Shahir baru sahaja keluar dengan filem terabru berjudul Pendam.

"Sekarang saya dalam proses menyiapkan album kedua dan kini sudah ada tiga buah lagu. Bulan depan kami akan buat klip video untuk lagu Pendam," katanya yang dalam proses menguruskan badan untuk klip video tersebut. - mStar Online


Read more: http://jomss.blogspot.com/#ixzz1ZRGLOYsJ

No comments:

Post a Comment