Sunday 4 September 2011

2 Kanak-kanak Lemas Ditelan Lagun Laut



NOR FATIN yang mati lemas selepas tergelincir ke dalam lopak air di Lagun Kuala Semerak, Pasir Puteh kelmarin.


PASIR PUTEH - Kegembiraan dua buah keluarga menghabiskan cuti hujung minggu dengan berkelah di Lagun Kuala Semerak di sini kelmarin berakhir dengan air mata apabila masing-masing kehilangan ahli keluarga akibat ditelan 'lagun maut' di situ.
Kejadian pada pukul 3.45 petang itu mengorbankan Nik Nur Hidayah Nik Man, 11, dari Kampung Gong Penaga dan Nik Nor Fatin Izzati Nik Mohd. Noor, 15, dari Kampung Gong Datuk dekat sini.
Mangsa pertama Nur Hidayah lemas selepas kedua-dua kakinya terbenam dalam lumpur yang jerlus sebelum ditenggelami air sungai pasang besar.
Pada masa sama, Nor Fatin pula lemas di kawasan air dalam selepas dia tergelincir ke dalam lopak air.
Dua tragedi membabitkan dua buah keluarga itu berlaku dalam jarak 30 meter dan kedua-dua buah keluarga itu tidak mengetahui mengenai tragedi antara satu sama lain.
Mayat Nur Hidayah ditemui di dasar lagun pukul 5.05 petang manakala mayat Nor Fatin dijumpai 15 minit kemudian.
Ibu Nur Hidayah, Zaini Mat Hasan, 45, berkata, ketika kejadian, kakak mangsa, Nik Nasuha, 16, cuba menyelamatkan anak bongsu daripada empat beradik itu tetapi nyaris terkorban kerana kawasan itu bukan saja dalam malah air di situ berpusar.
Cerita wanita itu, dia dan ahli keluarga terpaksa menanggung azab menyaksikan Nur Hidayah meraung-raung minta diselamatkan sebelum badannya sedikit demi sedikit ditenggelami air dalam tempoh kira-kira enam minit.
"Kami semua tidak tahu berenang dan lebih menakutkan air di sekeliling Nur Hidayah juga berpusar.
"Kami hanya mampu menjerit dan berlari-lari tanpa tentu arah melihat Nur Hidayah yang kemudian hilang daripada pandangan," ceritanya lagi.
Zaini memberitahu, pagi sebelum kejadian, arwah duduk atas ribanya sedangkan sebelum ini arwah tidak pernah berbuat demikian.
"Saya tidak boleh melupakan cara pemergian arwah kerana ia sangat menyedihkan," katanya yang memberitahu ketika ditemui kedua-dua belah kaki dari paras lutut Nur Hidayah ditenggelami lumpur.

No comments:

Post a Comment