Sunday 4 September 2011

Jurukamera TV3 Bagaikan Mati Hidup Semula




NORAZRINA JAAFAR menyiram pusara Allahyarham suaminya, Noramfaizul sambil mendukung anak mereka, Mohd. Naufal, 3, di Tanah Perkuburan Islam Universiti Putra Malaysia di Serdang, Selangor semalam.



SUBANG - Jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan (gambar) menyifatkan dirinya bagaikan mati hidup semula apabila terselamat dalam tragedi tembakan curi yang mengorbankan jurugambar BernamaTV, Allahyarham Noramfaizul Mohd. Nor, 39, di Mogadishu, Somalia kelmarin.
Dia berkata, selepas mengorbankan rakannya, peluru sesat tersebut yang dipercayai dilepaskan oleh tentera Kesatuan Afrika (AU) telah melalui celah ketiak dan rusuknya di sebelah kanan.
"Saya sangat bernasib baik kerana peluru tersebut menembusi badan arwah terlebih dahulu sebelum lalu di celah ketiak dan rusuk saya di sebelah kanan, menyebabkan saya tercedera.
"Ada orang beritahu saya, telah terjumpa sebuah peluru yang dipercayai terkena arwah dalam pacuan empat roda dinaiki saya bersama rakan media lain," ceritanya lagi.
Dia menyatakan demikian kepada pemberita sejurus tiba dengan pesawat Charlie C-130 yang membawa jenazah Noramfaizul di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang di sini semalam.
Katanya, selepas melihat tangannya berdarah, dia ingin memberitahu kepada arwah selaku ketua misi media namun Noramfaizul sudah pun rebah di sisinya.



Saya sangat bernasib baik kerana peluru tersebut menembusi badan arwah terlebih dahulu


"Saya kemudian menjerit untuk beritahu orang depan bahawa kami terkena tembakan sebelum mereka berhenti," ujarnya.
Aji, 27, berkata, sahabatnya itu telah puas mengikuti misi-misi bantuan di tempat berbahaya sebelum ini.
Katanya, Noramfaizul juga sempat menyatakan keinginannya untuk membuat liputan ke Baitulmuqaddis tetapi akhirnya hajat itu tidak tercapai.
Sementara itu, wartawan Astro Awani, Tan Su Lin, 27, yang turut sama menaiki pacuan empat roda itu tidak menyangka bunyi tembakan didengarinya telah mengenai Noramfaizul.

No comments:

Post a Comment