Sunday 4 September 2011

Warga Emas Lumpuh Terselamat Daripada Rentung



KEADAAN rumah yang dihuni oleh Samat hangus dalam kejadian kebakaran di Kampung Ayer Chanal, Tanah Merah semalam.


TANAH MERAH – Seorang warga emas yang lumpuh berjaya diselamatkan ketika api sedang marak membakar sebuah rumah di Kampung Ayer Chanal di sini pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.09 pagi itu, warga emas tersebut, Samat Mat Min (gambar), 90, yang berada di ruang tamu rumah akibat lumpuh diselamatkan oleh cucunya yang bergegas pulang daripada menoreh di kebun getah selepas menyedari rumahnya terbakar.
Seorang penghuni rumah, Mek Kaltom Samat, 53, berkata, semasa kejadian dia dan anaknya, Azri Mamat, 22, pada ketika itu sedang berada di kebun getah sejauh 500 meter dari rumahnya kerana menoreh.
Apabila dia dan anaknya diberitahu oleh penduduk tentang kejadian dia terus bergegas pulang ke rumahnya untuk menyelamatkan datuknya yang sakit lumpuh yang sedang berada di rumah.
Isteri Azri, Mainzutul Silawati, 30, yang sedang sarat mengandung terselamat kerana kebetulan memang telah berada di luar rumah sedang menyidai kain.
Dengan pantas, Azri melompat naik ke rumah di mana datuknya ketika itu berada di ruang tamu dan terus memimpin keluar untuk selamatkan diri.
Seorang saksi, Wan Hussin Wan Zin, 17, berkata, semasa kejadian dia sedang berehat di hadapan rumahnya yang berada di atas bukit hadapan rumah mangsa.
Tiba-tiba dia mendengar letupan dari rumah tersebut dan melihat api marak membakar di bahagian belakang rumah berkenaan.
Dia yang terkejut bergegas ke rumah mangsa dan mengarahkan semua penghuni keluar menyelamatkan diri.
“Saya kemudian terus menjerit memohon pertolongan daripada penduduk kampung untuk memadam kebakaran tersebut.
“Pada mulanya api marak secara kecil dan saya cuba memadam kebakaran dengan menggunakan paip air biasa, tetapi tidak lama kemudian api begitu cepat merebak,” katanya pada Kosmo! ketika ditemui di tempat kejadian semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Tanah Merah, Mohamed Saamah ketika ditemui berkata, bomba menerima panggilan kecemasan pukul 10.12 pagi daripada Balai Bomba Dan Penyelamat Jeli.
“Kami bergegas ke tempat kejadian dengan kekuatan 16 anggota termasuk bomba sukarela dan tiba di lokasi kejadian pada pukul 10.47 pagi.
“Kami mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengawal kebakaran tersebut daripada merebak ke rumah berdekatan,” katanya.
Katanya, punca kebakaran masih dalam siasatan.

No comments:

Post a Comment