Friday 9 September 2011

Wanita 45 Tahun Trauma Diculik Lebih Dari 12 Jam

KUALA LUMPUR: Seorang wanita berusia 45 tahun kini trauma selepas diculik sebelum dikurung dua lelaki lebih 12 jam di sebuah rumah di Pandan Jaya, dekat sini, kelmarin.
Dia yang menjalankan perniagaan keluarga diculik kira-kira jam 8 malam, Rabu lalu di hadapan rumahnya di Kajang, dekat sini.

Sebaik diculik, seorang suspek berusia 30-an menghubungi keluarga mangsa meminta tebusan RM500,000 dan mendakwa kegagalan menyediakan wang berkenaan akan menyebabkan mangsa dibunuh.


Biarpun panik dengan ancaman berkenaan, ahli keluarga mangsa membuat laporan polis sekali gus membolehkan kerjasama dirancang untuk menjerat penculik selain menyelamatkan mangsa.

Menurut sumber, rundingan dilakukan berjaya mengurangkan tebusan sebanyak RM200,000 selain mendedahkan lokasi pertukaran antara mangsa dan wang yang bakal dilakukan di sebuah taman perumahan di Pandan Jaya, Ampang, dekat sini.


Sumber berkata, sepasukan anggota polis dari Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor yang mengesan lokasi tebusan mengepung kawasan rumah berkenaan sejak jam 7 malam, kelmarin.



“Suspek yang menaiki sebuah kereta tiba di rumah berkenaan kira-kira jam 9 malam. Namun, selepas mangsa dibebaskan, pasukan polis terus menahan suspek,” katanya.

Suspek yang ditahan dan mangsa yang diselamatkan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di sini, untuk tindakan dan siasatan lanjut.



Difahamkan, keterangan mangsa sudah dirakam pihak berkuasa sebelum dibenarkan pulang ke rumah. Katanya, seorang lagi suspek masih diburu pihak berkuasa.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Azman Ayob ketika dihubungi, memberitahu pihaknya menerima laporan mengenai penculikan itu namun enggan mengulas lanjut.


Difahamkan, satu sidang media akan diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor (IPK), oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner, Mohd Adnan Abdullah, berhubung kejayaan pihak polis menyelamatkan mangsa culik itu pada minggu hadapan.


No comments:

Post a Comment