Saturday 17 September 2011

Keluarga pencipta Jalur Gemilang marah, kecewa dengan Manoharan


JOHOR BAHRU 17 Sept. - Keluarga pencipta Jalur Gemilang, Mohamad Hamzah marah dan kecewa dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M. Manoharan yang mahu menukar bendera negara jika pakatan pembangkang memerintah.


Adiknya, Abu Bakar Hamzah, 76, berkata, kenyataan biadab tersebut jelas menunjukkan Manoharan tidak patriotik, sensitif dan mempunyai agenda tersembunyi.


"Jangan politikkan perkara seperti ini atau cuba keruhkan keamanan negara. Sepatutnya dia (Manoharan) dan rakyat Malaysia patut bersyukur dengan apa yang dikecapi hari ini di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN).


"Jangan perkecilkan Jalur Gemilang, walaupun ia cuma secebis kain tetapi melambangkan maruah dan kedaulatan negara dan tidak boleh dipersendakan.


"Mengapa ada orang yang sanggup mempertikaikan perkara seperti ini? Kenyataan itu amat menyinggung perasaan dan keterlaluan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Tamah Sri Pandan di sini, hari ini.


Utusan Malaysia hari ini mendedahkan kenyataan Manoharan dalam akaun Facebook beliau kelmarin yang menegaskan pembangkang akan menukar Jalur Gemilang jika memperoleh kuasa dalam pilihan raya umum akan datang.


ADUN DAP itu juga menolak untuk mengibarkan Jalur Gemilang dalam kawasannya kerana mendakwa bendera Malaysia itu kelihatan seperti BN berbanding Malaysia.


Hamzah berkata, perbuatan itu satu penghinaan kepada negara dan semua pihak tanpa mengira parti politik perlu mempertahankan Jalur Gemilang dalam apa jua keadaan.


Beliau menasihatkan mana-mana pihak yang masih mahu memperlekehkan Jalur Gemilang agar berfikir kesannya dan merenung apakah sumbangan mereka kepada negara.


Bekas tentera itu berkata, pemilihan Jalur Gemilang sebagai bendera rasmi negara bukan dilakukan sebarangan kerana dipilih dan mendapat restu Majlis Raja-Raja.


"Semasa pertandingan mereka cipta bendera pada 1948, abang saya menghantar empat rekaan dan satu daripadanya dipilih serta menjadi juara daripada 373 penyertaan dari seluruh negara. Ia menjadi bendera kita hingga hari ini," katanya.


Kata bapa kepada lima anak itu, generasi pasca merdeka perlu mencintai Jalur Gemilang dan amat malang sekali sekiranya penghinaan terhadapnya dilakukan oleh rakyat sendiri.

No comments:

Post a Comment