Saturday 10 September 2011

Shaheizy Sam Tunjuk Bakat Tersembunyi


SAM dikelilingi anak saudara. Dari kiri, Azrin, Cinta, Sean, Aydeen dan Kenny yang memangku Arjuna sedang menonton cerita menerusi komputer riba.


TATKALA melihat lakonannya sebagai mat despatch dalam filem Adnan Semp-It, ramai yang ketawa dan tidak kurang juga yang mengalirkan air mata simpati dengan nasib Arman lakonannya menerusi filem Sekali Lagi.


Itulah kelebihan pelakon Shaheizy Sam Abd. Samad, 29, yang mampu membuat penonton ‘terjebak’ dengan aksi lakonannya yang penuh penghayatan itu.


Namun ada satu lagi bakat Shaheizy Sam atau yang mesra dengan panggilan Sam yang tidak diketahui umum.


Baru-baru ini S3 berjaya merakamkan aksi Sam yang tidak pernah didedahkan kepada orang ramai ketika berkunjung ke rumahnya di Bukit Antarabangsa.


Sewaktu menuruni tangga menuju ke rumahnya, penulis dapat melihat dengan jelas betapa tekunnya Sam menggosok kertas pasir ke bingkai kerusi pasang siap.


Sam yang hanya mengenakan kemeja- T dan seluar pendek itu memberitahu penulis, dia telah memulakan kerja-kerja memasang dan mengecat bangku serta meja itu sejak raya pertama lagi.


“Memang tidak merancang pun. Pada hari raya pertama itu, bila terasa bosan Sam mula terfikir kerja apa yang perlu dilakukan.


“Disebabkan sudah lama Sam berhasrat nak buat taman di halaman rumah ini, Sam terus pergi ke Ikea membeli bangku dan meja kayu ini," jelasnya.


Kata Sam, bangku dan meja pasang siap yang dibeli asalnya berwarna gelap dan dia sengaja memilih cat warna putih untuk disesuaikan dengan tema taman putih impiannya.


Jelas Sam, dia jenis yang tidak boleh duduk diam dan mesti melakukan sesuatu pekerjaan sebagai mengisi waktu terluang.


“Bila letih, Sam akan tidur tapi selalunya Sam akan melakukan kerja-kerja yang jarang dilakukan sebelum ini. Entahlah, sejak dulu Sam minat dengan kerja-kerja tangan.


“Kalau nak ikutkan bangku dan meja ini setelah siap dipasang, ia sudah boleh diguna tapi Sam nak kelainan. Kerja-kerja mengecat atau pertukangan begini dapat membebaskan fikiran Sam daripada segala bebanan. Kemudian hati rasa puas tengok hasil kerja yang dibuat," katanya terus terang.


Menurutnya, projek mengecat bangku dan meja taman itu akan siap dalam beberapa hari lagi kerana dia amat teliti dan cerewet dalam melakukan persiapan.


Kata Sam, adalah menjadi tabiatnya, kalau buat kerja-kerja begitu dia tidak mahu diganggu kerana kerja seni memerlukan kedamaian.


Namun sepanjang menyiapkan projek taman putih itu, kerjanya sering terganggu dengan gelagat anak-anak kakaknya, Jozieta Ronalie,36, iaitu Kenny, 7, Aydeen,4, Sean, 3 tahun. Serta anak-anak Samzy Fuzette,35, iaitu Mohd. Azrin Fuzette, 10, Cinta Matanya Fuzette, setahun dan Arjuna enam bulan.


“Gangguan-gangguan yang tidak diingini inilah yang membuatkan kerja-kerja Sam terganggu. Sekejap-sekejap datang nak membantu tapi menganggu. Biarpun begitu, Sam gembira kerana raya kali ini anak saudara dari Alaska, Amerika Syarikat balik beraya sama,” katanya yang dipanggil Papa Adik di kalangan anak saudara.


Kata Sam, dia turut membeli lampu hiasan yang kemudiannya disembur cat putih untuk diletakkan di taman di hadapan halaman rumahnya itu.


Menurutnya, ada juga jiran-jiran yang secara bergurau meminta dia membuat benda yang sama di rumah mereka.


“Ada uncle tu kata, macam kafe aje. Sebenarnya, Sam nak buat taman ini tempat lepak dengan kawan-kawan terutamanya kalau ada perlawanan bola sepak,” katanya.


Dalam pada sibuk dengan kerja-kerja mengecat itu, Sam sempat menunjukkan hasil kerjanya di ruang tamu, bilik tidurnya dan komputer riba miliknya.


“Sam tidak suka mengecat dinding keseluruhan sebab tidak mencabar. Cuba tengok tiga garisan pemisah ini, Sam yang buat.


“Begitu juga dengan komputer ini. Bajet permata-permata yang dilekatkan di komputer ini mencecah RM500. Biarpun mahal, janji Sam puas hati dengan hasil kerja yang menampakkan logo Gucci," katanya.


Katanya, kerja-kerja tangan begitu hanya dilakukan setiap kali dia ada waktu lapang yang jarang-jarang dimiliki.


Menurut pelakon popular itu, dia bukanlah jenis yang suka lepak di luar.


Katanya, mungkin sudah terbiasa sejak zaman sekolah kerana dulu rakan-rakannya suka datang lepak di rumah dan kebetulan maminya, Khaty Fauziah rajin memasak.


Pelakon yang telah membintangi filem antaranya, Evolusi KL Drift 2, Niyang Rapik, Jangan Pandang Belakang Congkak, Syruga Cinta dan Bohsia-Jangan Pilih Jalan Hitam bakal tampil filem Bini-Bini Ku Gengster pada 22 September ini.

No comments:

Post a Comment