Wednesday 7 September 2011

Pesawat Pakistan Mendarat Cemas Di KLIA

Cemas di KLIA
Kapal terbang milik PIA menerima ugutan bom di KLIA, malam tadi. (Gambar Hiasan)
SEPANG: Sebuah pesawat Pakistan International Airlines terpaksa dikuarantin unit pemusnah bom sebaik mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, selepas pihak berkuasa menerima maklumat mengatakan terdapat bom di dalam pesawat berkenaan malam tadi.

Pesawat yang tiba kira-kira jam 9.30 malam itu di KLIA dan dijadualkan berlepas ke Lahore melalui penerbangan PK-899, malam tadi, terpaksa dikuarantin selepas pihak berkuasa dimaklumkan mengenai kewujudan bom berkenaan.

Menurut sumber, seorang anggota polis di lapangan terbang berkenaan membuat laporan polis selepas pihaknya menerima satu panggilan telefon mendakwa pesawat itu diletakkan bom.

Sementara itu, jurucakap Malaysia Airport Berhad (MAB) ketika dihubungi berkata, pihaknya mengesahkan menerima panggilan bom itu, namun enggan mengulas lanjut berikutan siasatan lanjut masih dilakukan.




“Pesawat yang mendarat lewat 30 minit daripada dijadualkan itu dikuarantin bermula jam 10 malam.



“Semua penumpang termasuk kru penerbangan seramai 177 orang diarah keluar daripada pesawat berkenaan sebaik mendarat,” katanya.

Jurucakap polis berkata, sebaik semua penumpang dan kru penerbangan meninggalkan pesawat itu, unit pemusnah bom memulakan tugas untuk mengesan bom berkenaan.

Sehingga jam 1 pagi tadi, usaha mengesan bom terbabit masih dijalankan. 

“Berikutan itu, hampir keseluruhan landasan di lapangan terbang itu terpaksa ditutup bagi memudahkan operasi mengesan bom berkenaan dilakukan selain mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.

No comments:

Post a Comment