Monday 26 September 2011

Najwa Latif Gadis 16 Tahun Cetus Fenomena Di Stesen Radio


TIDAK sampai setahun Najwa Latif, 16, (gambar) berada dalam industri muzik tempatan, lagunya, Cinta Muka Buku yang menceritakan percintaan di Facebook begitu popular di kalangan golongan remaja terutamanya pelajar sekolah.
Lebih membanggakan, ia turut bergelar juara di kebanyakan carta stesen radio sekali gus menjadi fenomena apabila ia kerap diputarkan di stesen-stesen radio tempatan.
Dan yang terbaru, anak kelahiran Batu Pahat, Johor, ini baru saja memenangi Anugerah Bakat Muda Selangor 2011, kategori solo bahagian muzik pada 17 September lalu.
“Rasanya terlalu pantas muzik yang saya bawakan ini dapat diterima umum. Alhamdulillah, saya anggap ia sebagai satu rezeki yang datang tanpa disangka.
“Lebih-lebih lagi apabila saya diberi anugerah Bakat Muda Selangor 2011. Pada saya ia sebagai satu permulaan untuk melangkah kearah yang lebih baik terhadap pembabitan saya dalam dunia muzik tempatan,” katanya.
Tambah Najwa yang bernaung di bawah label NAR Records, dia mula berasa serasi dengan gelaran sebagai seorang penyanyi profesional berbanding dahulu di mana dia dipanggil gadis Youtube kerana sering memuat naik video nyanyiannya melalui laman sosial itu.
“Ada seronoknya bergelar seorang penyanyi pada usia muda. Jika dahulu saya tidak pernah menaiki bas, saya kini sudah tahu bas mana yang perlu diambil untuk ke Kuala Lumpur jika mempunyai undangan persembahan.
“Selain itu, pelbagai pengalaman yang dilalui sekali gus boleh mematangkan fikiran serta mengasah bakat saya,” tutur peminat Justin Bieber, Taylor Swift dan Bruno Mars ini.
Selain itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Temenggong Ibrahim, Batu Pahat ini berkata dia turut bersyukur klip video Cinta Muka Buku nyanyiannya sudah mencecah lebih daripada 1.5 juta tontonan selepas di muat naik di laman Youtube pada dua bulan lalu.
“Bukan itu sahaja, peminat saya juga semakin hari semakin bertambah iaitu seramai 41,217 orang menerusi akaun Facebook saya.
“Walaupun saya tidak terlalu terdedah menerusi publisiti media cetak dan ramai lagi yang kurang mengenali diri saya, itu tidak apa cuma yang penting, lagu saya diminati,” tuturnya.
Sementara itu, kata Najwa, walaupun dia kini aktif dengan aktiviti nyanyian, pelajarannya tidak mungkin akan diabaikan.
Malah Najwa mempunyai cita-cita mahu bergelar seorang pensyarah Bahasa Inggeris pada masa akan datang dan ingin menjadikan aktiviti nyanyian sebagai kerja sambilan.
Trivia Najwa Latif
Nama Penuh: Imratul Najwa Binti Abdul Latif
Nama Komersial: Najwa Latif
Tarikh Lahir: 23 Mei 1995
Tempat Lahir: Batu Pahat, Johor
Status: Pelajar Sekolah SMK (P) Temenggong Ibrahim Batu Pahat Johor.
Hobi: Menghasilkan lagu dan bermain peralatan muzik gitar, dram dan piano
Laman sosial: http://www.najwalatifs.blogspot.com/
Facebook Fanpages: najwalatif
Twitter : @njwalatif
Youtube : www.youtube.com/najwa595

No comments:

Post a Comment