Sunday 4 September 2011

Gempar Lori Diesel Terbakar Depan Stesen Minyak


PENDANG: Orang ramai di pekan Bukit Jenun, dekat sini, gempar apabila sebuah lori yang baru diisi minyak di sebuah stesen minyak di situ tiba-tiba terbakar, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, enjin lori berkenaan tiba-tiba terbakar sebelum merebak sehingga memusnahkan lori enam tan sebaik ia bergerak meninggalkan stesen minyak itu menuju ke Pendang.

Kejadian itu turut menyebabkan papan tanda sebuah kedai runcit kira-kira 10 meter dari tempat kejadian terbakar dan sebahagian lori yang terletak berhampiran terbakar.


Namun, tiada kemalangan jiwa dan pemandu lori berusia 55 tahun berjaya menyelamatkan diri.

Saksi, Wong Ah Fook, 75, berkata, ketika kejadian dia berehat bersama rakan di depan kedai membaiki basikal miliknya kira-kira 15 meter dari stesen minyak itu.


“Lori itu mengisi minyak agak lama. Selepas enjinnya dihidupkan, ia tiba-tiba terbakar sebelum pemandunya cuba membawa lori berkenaan jauh dari stesen minyak itu. Namun, ia hanya bergerak lima meter sebelum api marak dan memusnahkan keseluruhan lori itu,” katanya.



Difahamkan, lori itu juga membawa lapan tong minyak diesel yang menjadi punca api semakin marak.

“Sebaik melihat lori itu terbakar menghampiri rumah kedai, baru saya perasan ada tong gas di luar kedai runcit itu. Mujur api tidak sempat menyambar tong gas itu, jika tidak mungkin keadaan lebih buruk,” katanya.



Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Pendang, Asistan Superintendan L Pubadi berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada enjin lori yang tiba-tiba mengalami masalah.

No comments:

Post a Comment