Monday 27 February 2012

Lelaki hantar barang pelik kepada wanita mirip Diana Danielle ditangkap


KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang dikatakan obses dengan pelakon Diana Danielle ditahan di kediamannya selepas disyaki menghantar ayam hidup dan beberapa lagi barang-barang pelik termasuk seluar dalam ke rumah seorang wanita yang mirip pelakon wanita terbabit di Sri Rampai, di sini, semalam.

Lelaki berusia 33 tahun dan sudah beristeri serta mempunyai tiga anak, namun kerana terlampau meminati pelakon jelita itu, dia bertindak di luar batasan dengan mengganggu wanita terbabit yang tinggal selang beberapa rumah dari rumahnya kerana mengatakan wajahnya mirip pelakon berkenaan.

Menurut sumber, suspek memuja pelakon terkenal Diana Danielle kerana rupa parasnya yang cantik serta berdarah kacukan.

“Suspek mendakwa dia bertindak menghantar barangan ‘istimewa’ itu selepas berbalas-balas komen dengan Diana di laman sosial Twitter dan sejak itu, dia mendapat petunjuk kononnya Diana turut menyimpan perasaan terhadapnya.

“Tiga ekor ayam yang diberikan kepada wanita itu sebenarnya ayam yang gagal dijualnya lalu diberikan kepada wanita berkenaan sebagai hadiah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi berkata, suspek ditahan di kediamannya di Sri Rampai, di sini, kira-kira jam 1.30 tengah hari bagi membantu siasatan.

“Suspek tidak mempunyai pekerjaan dan sudah berumah tangga serta mempunyai tiga orang anak. Suspek kemudian dibebaskan selepas soal siasat dijalankan dengan jaminan polis,” katanya.

Zakaria berkata, tindakan lelaki terbabit mengganggu mangsa hanya disebabkan perasaan obses terhadap seorang pelakon tempatan yang dikatakan mirip wanita terbabit.

No comments:

Post a Comment