Friday, 23 December 2011

Wanita cekik bayi baru dilahirkan dan buang dalam tong sampah

DUBAI: Polis Emiriah Arab Bersatu semalam melancarkan gerakan mencari seorang wanita yang mereka percaya melahirkan anak dan kemudian mencekiknya di sebuah tandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai, sebelum meninggalkan negara itu dengan menaiki pesawat.

Wanita itu dikenal pasti menerusi rakaman kamera keselamatan selepas mayat bayi itu ditemui dalam tong sampah di Terminal Satu lapangan terbang berkenaan. Dia didakwa memutuskan tali pusat bayi lelakinya dengan tangan dan menjerut anaknya itu dengan kain sebelum membuangnya ke dalam tong sampah.

Bayi itu ditemui selepas seorang penumpang wanita memaklumkan kepada seorang pekerja lapangan terbang mengenai darah di dalam tandas.

Kesan darah itu membawa pekerja berkenaan ke tong sampah tempat mayat bayi itu ditemui dalam keadaan berlumuran darah, bersama-sama dengan tali pusatnya yang dibungkus dalam beg plastik.

Bayi itu dikatakan masih bernafas tetapi pasukan perubatan dan sukarelawan gagal menyelamatkannya.

Media tempatan melaporkan, pihak berkuasa berusaha mendapatkan bantuan Interpol untuk mengesan dan mengekstradisi wanita yang disyaki warga Habsyah dan berusia 30-an itu. Beberapa media lain hanya melaporkan wanita itu berketurunan Afrika. Jika ditangkap, dia berdepan tuduhan membunuh dengan niat.

Melahirkan anak tanpa berkahwin adalah kesalahan besar di Emiriah.

Sehingga ini tidak dapat dipastikan sama ada wanita itu penduduk Dubai. Bagaimanapun, polis mengesyaki dia hamil akibat hubungan seks haram hingga mendorongnya untuk membunuh bayi itu. - Agensi

No comments:

Post a Comment