Thursday, 22 December 2011

Syabas! Gol Nazmi Faiz Yang Ke-7 Terbaik Dunia


Gol Nazmi ketujuh terbaik dunia!! | Biarpun skuad Olimpik negara pimpinan Ong Kim Swee tewas kepada Bahrain dalam Kelayakan Sukan Olimpik London Ahad lalu, namun salah satu jaringan yang dihasilkan pemain tengah, Muhammad Nazmi FaizMansor (atau Nami) tercatat sebagai gol ketujuh terbaik dunia minggu ini.

Berdasarkan maklumat yang dipaparkan dalam laman rasmi101greatgoals.com, anak jati Lembah Keramat, Kuala Lumpur itu mencuri perhatian dunia selepas meledak gol pembukaan negara dari jarak 30 meter. Tambah manis, dia menjadi pemain termuda yang berjaya memasuki carta jaringan terbaik sepanjang minggu ini biarpun baru berusia 17 tahun.


Karier perjalanan Nazmi bermula dengan bergabung bersama skuad Harimau Muda B yang kini beraksi dalam kancah Liga Perdana musim 2011. Selepas itu, kecederaan yang menimpa Gary Steven Robbat menyebabkan Nazmi dipanggil Kim Swee bagi memperkuat skuad bawah 23 negara untuk menghadapi temasya Sukan Sea Jakarta, bulan lalu.

Walhal, pada saat itu, Nazmi sedang beraksi mewakili pasukan bawah 19 negara pada kejohanan di Vietnam. Namun, seperti sudah tersurat, kehadiran Nazmi membawa tuah apabila membantu rakan sepasukan mempertahankan pingat emas Sukan Sea dimenangi di Laos dua tahun lalu serta tersenarai pada pertemuan berdepan Syria dan Bahrain.

Kini, namanya meniti puncak kemasyuran seperti dikecapi pemain yang lain. Namun harus diingat, Nazmi masih muda dan memerlukan penjagaan rapi daripada semua pihak bagi mengelakkan jangka hayat pemain yang mendapat jolokan ‘Kaka Malaysia’ ini ‘tidak panjang’ gara-gara publisiti yang melampau.

Malah, Kim Swee sendiri melahirkan kerisauan terhadap Nazmi yang mula mendapat tumpuan peminat dan media selepas berakhirnya kempen pertandingan bola sepak Sukan Sea lalu.

Senarai ranking penjaring gol terbaik di dunia minggu ini:

1. Kevin Prince Boateng (AC Milan lwn Barcelona, 23 November 2011)
2. Bruno Mezenga (Crvena Zvezda lwn Smederevo, 23 November 2011)
3. Yohann Eudeline (Sedan lwn Laval, 25 November 2011)
4. Dylan McGeouch (Celtic lwn St Mirren, 26 November 2011)
5. Jam Schlaudraff (Hannover lwn Hamburg, 26 November 2011)
6. Salif Hanifi (Saida lwn Kabylie, 26 November 2011)
7. Nazmi Faiz Mansor (Malaysia B23 lwn Bahrain B23, 27 November 2011)
8. Tim Brown (Wellington Pheonix lwn Sydney CF, 27 November 2011)
9. Inigo Martinez (Real Sociedad lwn Real Betis, 27 November 2011)
10. Damian Alvarez (Tigres lwn Pachuca, 27 November 2011)

No comments:

Post a Comment