Friday 13 July 2012

Tangan ditetak lelaki mengamuk




KUALA LUMPUR: Tindakan seorang abang mahu menyelamatkan adik perempuan dan anak saudaranya berusia empat bulan daripada ditetak seorang lelaki yang mengamuk berdekatan Flat Sri Sabah, Cheras, di sini, membawa padah apabila bahu kanannya ditetak dalam kejadian berkenaan, kelmarin.
Dalam kejadian jam 3 petang itu, mangsa Mohd Fauzi Yu Amril, 25, ditetak di bahu kanan hingga menyebabkan urat bahunya putus manakala adik iparnya, Azrul Zainal Abidin, 24, bengkak di muka akibat diserang lelaki sama.

Menceritakan kembali kejadian berkenaan, adik mangsa, Noraini Yu Amril, 24, berkata sebelum kejadian, mereka sekeluarga pergi membeli barang dapur di Pasar Chow Kit sebelum pulang ke rumah ibu mentuanya di Cheras.


Katanya, ketika hendak keluar dari simpang jalan menghala ke Jalan Cheras, kereta dinaiki mereka dihimpit lori pasir yang enggan memberi laluan menyebabkan mereka memperlahankan kenderaan.

“Namun, pemandu lori itu seperti tidak puas hati dengan kami dan asyik menjeling hingga tidak perasan lampu isyarat sudah bertukar ke warna merah sebelum melanggar sebuah kereta di hadapannya.


“Selepas berlanggar, pemandu lori itu tidak melihat kerosakan kenderaan di hadapannya sebaliknya menuju ke arah kenderaan kami dan mengetuk cermin pemandu sebelum menumbuk muka suami saya bertubi-tubi sebaik dia menurunkan cermin,” katanya kepada Harian Metro, semalam.



Menurutnya, suaminya sempat menolak lelaki itu ke belakang sebelum membuka pintu kereta dan abangnya yang duduk di bahagian penumpang hadapan turut membantu suaminya daripada terus menjadi mangsa amukan lelaki itu.

Katanya, dengan tiba-tiba lelaki itu kembali ke lorinya sebelum membawa sebilah parang dan melibas ke arah suaminya namun bernasib baik sempat mengelak.


“Berang kerana sasarannya tidak mengena, lelaki itu menjerit akan melibas saya dan anak berusia empat bulan yang sedang duduk di perhentian bas berdekatan sebelum berlari menuju ke arah saya.

“Abang saya yang risau dengan keadaan saya mendukung anak ketika itu cuba menahan lelaki berkenaan dan akibatnya terkena tetakan di bahu kanannya,” katanya.


Beliau berkata, walaupun cedera, abangnya sempat melarikan diri ke arah pondok polis berdekatan dan orang ramai yang menyaksikan kejadian berkenaan membantu memujuk lelaki terbabit supaya bertenang.


“Selepas memujuk lebih 30 minit, lelaki itu akhirnya menyerahkan parang sebelum orang ramai menghubungi polis,” katanya.

No comments:

Post a Comment