SHAH ALAM: Seorang wanita warga Guinea yang melahirkan anak ketika dalam penjara dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, selepas didapati bersalah mengedar hampir dua kilogram (kg) syabu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, tahun lalu.
Hakim Noor Azian Shaari membuat keputusan itu terhadap bekas jurutera telekomunikasi, Philomene Thea, 33, selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.
Noor Azian pada penghakimannya berkata, pihaknya berpendapat semua keterangan tertuduh ketika membela diri adalah tidak konsisten dan tidak boleh dipercayai.
“Mahkamah berpendapat bahawa cerita tertuduh (berhubung penemuan dadah) langsung tidak masuk akal. Ia tidak menimbulkan keraguan munasabah.
“Oleh itu, mahkamah tiada pilihan selain memutuskan tertuduh dihukum mati,” katanya.
Sepanjang perbicaraan, seramai lima saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan tampil memberi keterangan.
Mengikut pertuduhan, Thea didakwa mengedar 1.743 kg syabu di Cawangan Pemeriksaan Penumpang 1, Balai Ketibaan Antarabangsa KLIA, kira-kira jam 9.O5 malam, pada 19 Februari tahun lalu.
Wanita yang sudah hamil ketika ditahan dan melahirkan anak dalam penjara itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama.
Pada prosiding semalam, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Kastam Diraja Malaysia, Gan Peng Kun.
Manakala, tertuduh diwakili oleh peguam Muhammad Rafique Rashid Ali.
Berdasarkan keterangan saksi sepanjang perbicaraan dadah itu ditemui dalam beg milik wanita itu.
Dia yang kali kedua memasuki negara ini ketika membela diri memberitahu mahkamah tujuan kedatangannya adalah untuk membeli emas untuk dijual di negara asalnya.
No comments:
Post a Comment