Saturday, 27 August 2011

Barcelona Juarai Liga Eropah







MONACO – Barcelona terus mengukuhkan reputasi mereka sebagai kelab gergasi Eropah.
Semalam, kelab dari Sepanyol itu menjulang gelaran pertama pada musim baharu ini selepas bergelar juara Piala Super.
Ia diraih menerusi kemenangan 2-0 ke atas Porto pada aksi pembuka tirai kejuaraan Eropah.
Piala Super menemukan dua kelab Eropah membabitkan juara Liga Juara-Juara serta juara Liga Europa.
Barcelona memegang status sebagai juara Liga Juara-Juara musim lepas, manakala Porto dari Portugal merupakan juara Liga Europa.
Pada aksi pembuka tirai saingan Eropah semalam, pemain baharu Barca, Cesc Fabregas menikmati saat paling indah apabila tampil sebagai penjaring gol pada perlawanan tersebut dan ia merupakan jaringan pertamanya dalam kejohanan berprestij bersama kelab baharunya itu sejak berpindah dari Arsenal awal bulan ini.
Fabregas menemui penyudah hanya dua minit selepas dimasukkan sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua.
Lionel Messi meletakkan Barca di depan pada minit ke-39 untuk membantu kelab gergasi Sepanyol itu menambah koleksi kejuaraan Piala Super Eropah selepas mereka turut memenangi Piala Super Sepanyol minggu lepas. – AFP

No comments:

Post a Comment