Monday, 29 August 2011

Lelaki Nigeria Tipu Cikgu Sekolah RM140,000



BERHATI-HATI bila melayari Facebook bagi mencari rakan kerana anda mungkin menjadi mangsa penipuan.


KUALA LUMPUR – Gara-gara terlalu percaya dengan teman baru di Internet, seorang guru kerugian RM140,000 gara-gara diperdaya dua lelaki Nigeria daripada sindiket sama menerusi penipuan bungkusan dan Black Money.
Lebih malang lagi, mangsa yang berusia 36 tahun dan bujang itu sanggup membuat pinjaman bank sebanyak RM90,000 bagi memenuhi hasrat kedua-dua lelaki kulit hitam yang dikenali sebagai James dan Charles.
Perkenalan antara mangsa dari Melaka dengan suspek pertama James, 28, bermula pada Januari lalu menerusi laman sosial Facebook.
Selepas tiga bulan berkenalan, James yang kononnya menetap di Washington, Amerika Syarikat menawarkan untuk menghantar cenderamata berupa sepasang kasut kepada mangsa kononnya sebagai tanda persahabatan.
Pada Mac lalu, seorang wanita yang mendakwa dirinya dari sebuah syarikat penghantaran di negara ini menghubungi mangsa memaklumkan bungkusan atas nama wanita itu tersangkut di syarikat berkenaan.
Wanita itu diminta memasukkan sejumlah wang ke dalam satu akaun kononnya sebagai bayaran cukai bagi menuntut bungkusan tersebut.
Mangsa yang teruja untuk mendapat hadiah tersebut memasukkan wang yang semuanya berjumlah RM20,000 ke dalam satu akaun yang didaftarkan atas nama sebuah syarikat. Kesemua wang tersebut dibuat dalam beberapa transaksi.
Selepas membuat bayaran itu, mangsa kemudian dihubungi pula seorang lelaki yang mendakwa sebagai pemilik syarikat penghantaran dan menawarkan untuk berjumpa dengan mangsa kononnya bagi menyelesaikan urusan berhubung bungkusan tersebut.
Mangsa kemudian bertemu dengan pemilik syarikat penghantaran yang memperkenalkan diri sebagai Charles, 30-an, di sebuah hotel di ibu negara pada April lalu.
Dalam pertemuan itu, Charles memperdaya mangsa untuk melabur modal membeli sejenis cecair untuk melunturkan kertas hitam (black money) yang kononnya mampu menggandakan wang.

No comments:

Post a Comment