Monday, 22 August 2011
Isteri Dikurung Suami Diselamatkan Oleh Penjual Kuih Raya
KLANG: Tindakan bijak seorang isteri menyelitkan memo bertulis, “Tolong telefon kakak saya sekarang dan ambil saya sekarang. Saya dalam bahaya!” kepada penghantar kuih raya, menyelamatkan diri wanita itu daripada terus dikurung akibat cemburu buta suami.
Dalam kejadian di Bandar Botanik, di sini, mangsa hanya mahu dikenali sebagai Shikin, 28, mendakwa suaminya mengurungnya kerana cemburu serta tidak mahu orang lain melihat mangsa.
Shikin mendakwa sudah hampir seminggu dikurung tanpa sebab, sebelum dibebaskan jam 12.30 awal pagi kelmarin.
“Saya baru berkahwin tahun lalu. Suami mula mengurung saya sejak awal tahun beberapa kali tetapi akan melepaskan saya semula.
“Sebelum ini suami turut memukul tetapi saya bersabar dengan harapan suami berubah kerana suami baru dibuang kerja. Mujur saya terfikir untuk memberi memo kepada penghantar kuih untuk memaklumkan kesulitan saya,” katanya.
Shikin kemudian melaporkan kejadian di balai polis berdekatan.
Sementara itu, kakak mangsa dikenali sebagai Isma, 30-an berkata, dia mendapat panggilan misteri daripada seorang wanita yang tidak dikenalinya supaya menyelamatkan adiknya di rumahnya.
“Saya tak senang hati apabila dapat panggilan yang mengatakan adik saya dalam bahaya. Saya takut kalau adik saya diapa-apakan.
Difahamkan, pihak polis terpaksa memecahkan kunci pintu rumah kerana mangsa terkunci dari dalam dan bimbang jika mangsa mengalami sebarang kecederaan.
Isma berkata, adiknya itu menyedari cemburu buta suaminya itu sebelum berkahwin lagi, tetapi berharap suaminya berubah. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop, mengesahkan menerima laporan berhubung kes berkenaan.
Menurutnya, kes diserahkan kepada Mahkamah Syariah kerana mangsa tidak tahan lagi dengan sikap suaminya dan mangsa dalam proses menuntut cerai.
Labels:
Berita
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment