Friday 13 April 2012

'Pelakon Luar Setaraf Pembantu Rumah' – Zed Zaidi

Pelakon Luar Setaraf Pembantu Rumah – Zed Zaidi

Kenapa anda buat kenyataan sebegitu di Twitter? Terang-terang anda maksudkan Aaron Aziz tetapi kemudian menafikan pula?
Dalam kenyataan saya itu ada tak saya tulis nama Aaron Aziz? Saya tak maksudkan dia cuma saya menyuarakan rasa sedih sebagai artis Malaysia yang mana bila di negara sendiri kita rasa dijajah.

Jadi, apa maksud sebenar kenyataan anda di Twitter itu?
Setiap anugerah perlu ada justifikasi atau syarat-syarat tertentu. Contohnya, perlu ada kategori berlainan untuk artis Malaysia dan artis luar.

Jika dirujuk pada kemenangan Aaron Aziz, kemenangannya tidak patut dipertikaikan kerana dia berlakon dalam karya tempatan dan kemenangannya merebut Anugerah Bintang Paling Popular juga adalah berdasarkan undian daripada peminat Malaysia sendiri. Apa masalahnya kalau dia dianggap popular.
Ya betul. Walaupun undian peminat, tetapi tetap perlu ada justifikasi atau syarat-syarat. Artis luar sepatutnya tidak perlu bertanding dalam kategori tertinggi kecuali kategori yang dikhaskan untuk mereka sahaja. Bila artis luar diiktiraf sedemikian rupa ia akan menggalakkan lebih ramai lagi artis luar masuk seterusnya hak artis Malaysia sendiri dinafikan.

Kenapa tidak dari dulu lagi anda menyuarakan pendapat sebegini?
Saya bercakap bukan atas diri sendiri tetapi untuk semua artis Malaysia. Ini adalah tanggungjawab saya sebagai Timbalan Presiden Seniman. Walaupun pahit saya harus meluahkannya. Saya juga hanya mengikut saranan kerajaan untuk mengurangkan pekerja asing. Artis luar ini sama juga dengan pembantu rumah ataupun pekerja asing lain yang mana kita patut kurangkan pengambilan mereka.

Anda sekarang begitu hebat dalam mengkritik? Apa sebenarnya hala tuju anda? Jadi pelakon atau pengkritik?
Saya bercakap sebagai Timbalan Presiden Seniman. Ini perjuangan saya sebagai Timbalan Presiden Seniman. Jika bukan saya, siapa lagi yang mahu menyuarakan hal-hal macam ini.

Bagaimana kalau anda sendiri yang dapat peluang atau tawaran daripada produksi luar? Adakah anda terima?
Nak melebarkan sayap tak ada masalah. Tapi, perlu ada pengawalan yang ketat. Bukan mudah artis Malaysia nak tembusi pasaran luar. Contohnya macam karyawan Indonesia. Mereka ada syarat-syarat tertentu seperti artis luar perlu pandai bercakap dalam bahasa Indonesia baru boleh berlakon dalam karya mereka. Itu perjuangan yang kita perlukan di sini.

Bagaimana kalau ada orang yang tak suka dengan kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan anda? Sebab ada kalanya ia seperti merapu dan kemudian anda menafikan dengan mengatakan pihak media pula yang memutar belit apa yang anda katakan?
Kalau orang tak suka lepas ini jangan undi saya sebagai Timbalan Presiden Seniman lagi. Dalam kes Aaron Aziz, saya sendiri ada ucap tahniah pada dia atas kemenangannya pada malam itu. Malah saya sendiri tidak menafikan kehebatannya sebagai pelakon. Saya harap masyarakat faham apa yang saya perjuangkan ini adalah untuk kebaikan artis Malaysia dan industri Malaysia sendiri. (KOSMO!)

No comments:

Post a Comment