Wednesday 30 November 2011

Gaji Didier Drogba RM595,605 seminggu


DROGBA dilaporkan tidak berpuas hati dengan sambungan kontrak yang ditawarkan Chelsea.


LONDON - Penyerang Chelsea, Didier Drogba dilaporkan telah bersedia untuk meninggalkan pasukan itu selepas menolak tawaran baharu skuad The Blues.

Pemain berusia 33 tahun yang memperoleh gaji £120,000 (RM595,605) seminggu itu difahamkan telah menolak tawaran selama setahun dan kini berada dalam tempoh terakhir bersama Chelsea.

Difahamkan, Drogba sudah bersedia untuk meninggalkan Stamford Bridge sebagai pemain bebas, sekali gus beraksi bersama kelab mewah Rusia atau Qatar.

Bagaimanapun, Thierno Seydi selaku ejen Drogba mendakwa: "Drogba telah ditawarkan kontrak selama setahun dengan Chelsea, namun tawaran itu tidak memadai bagi kami.

"Kelab Itali, AC Milan pernah meluahkan rasa minat untuk mendapatkan khidmat Drogba sebagai pemain pinjaman sekiranya gagal mendapatkan pemain itu secara kekal.

"Namun, saya menegaskan 'tidak' kerana tawaran itu tidak menarik perhatian kami.

"Pada peringkat umur Drogba sekarang, dia sudah tiada apa untuk dibuktikan sebagai pemain dan pemain itu akan beraksi untuk kelab yang menawarkan kontrak lumayan sahaja.

"Kemungkinan dia akan beraksi di Amerika Syarikat, Rusia, Qatar atau di mana-mana sahaja yang menawarkan kontrak lumayan kepada kami," ujarnya.

Drogba telah 'disunting' oleh bekas pengurus Chelsea, Jose Mourinho dari Marseille dengan melengkapkan perpindahan £24 juta (RM119 juta) pada tahun 2004.

Penyerang berasal dari Ivory Coast itu telah menjaring 146 gol sepanjang tempoh tujuh tahun beraksi bersama Chelsea. - Agensi

No comments:

Post a Comment