Monday 28 November 2011

Calon SPM Kena Cekup Khalwat dengan Duda Anak Dua

[SH] LEDANG – “Saya hanya berehat dan menonton televisyen di bilik ini.”

Demikian alasan seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) apabila dicekup berkhalwat bersama pasangannya oleh Penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Ledang (PPADL), awal pagi semalam.

Remaja perempuan berusia 17 dan pasangannya berusia 27 itu ditahan dalam serbuan kira-kira jam 12.30 pagi ketika sedang berdua-duaan di dalam sebuah bilik di bengkel jentera di Serom 6, Sungai Mati, di sini.

Pelajar itu juga mendakwa dia datang ke bilik teman lelakinya itu sekadar untuk mengisi masa lapang kerana tiada kertas peperiksaan yang diduduki pada hari tersebut, selain akan pulang ke rumah di Muar sebaik sahaja selesai berehat di bilik itu.

Manakala, teman lelakinya adalah duda beranak dua dan baru sahaja bekerja di bengkel itu sejak sebulan lalu.

Kadi Daerah Ledang, Sulaiman Maidin berkata, berdasarkan aduan orang awam, sepasukan anggota yang diketuai Pegawai Penguatkuasa, Zainal Kadiran memeriksa bilik di bengkel itu.

Menurutnya, selepas mengetuk pintu dan memberi salam, seorang lelaki yang hanya berseluar dalam membuka pintu.

“Para penguat kuasa hanya me­nunggu kira-kira dua minit sebelum lelaki itu membuka pintu dan membenarkan pemeriksaan dijalankan.

“Pemeriksaan menemui seorang remaja perempuan memakai baju-T dan berseluar pendek sedang baring di atas tilam,” katanya kepada Sinar Harian.

Sulaiman berkata, pasangan itu kemudiannya ditahan untuk siasatan lanjut kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen mempunyai hubungan mahram atau suami isteri.

“Mereka dibawa ke Balai Polis Sungai Mati untuk dibuat laporan tangkapan sebelum dibawa ke Pejabat Agama untuk siasatan lanjut dan dijamin dengan jaminan keluarga masing-masing.

“Mereka ditahan dan didakwa di bawah Seksyen 27 (1) a b, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor, 1997 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.

No comments:

Post a Comment