Saturday 27 August 2011

Tangan Wanita Dikelar Dalam Kejadian Samun


KUALA LUMPUR: Seorang wanita cedera di tangan kanan selepas dikelar dalam kejadian samun berkumpulan oleh tiga lelaki bersenjatakan pisau di sebuah kedai cermin mata di Wangsa Maju, di sini, kelmarin.
Kejadian jam 9.30 malam itu menyebabkan Naizatul Siha Hassan, 35, yang berlumuran darah, berlari mendapatkan rawatan di klinik berhampiran.

Saksi yang mahu dikenali sebagai Sing, 28, berkata ketika kejadian dia bersama seorang rakannya yang turut bekerja di premis berkenaan melakukan kerja di bahagian belakang manakala mangsa yang menjadi juru wang, berada di kaunter.


Katanya, dia mendengar mangsa menjerit selepas premis itu dimasuki tiga lelaki bersenjata yang mengugut akan mencederakannya jika enggan menyerahkan wang.

“Mangsa cuba mempertahankan diri dan bergelut dengan penyamun sebelum tangannya dikelar, menyebabkannya cedera.


“Mangsa yang kesakitan berlari keluar premis dan menjerit minta tolong, namun tiada siapa membantu kerana ketakutan melihat tiga suspek itu membawa senjata tajam, menyebabkan mangsa berlari sejauh 50 meter ke klinik untuk mendapatkan rawatan,” katanya, di sini.



Menurutnya, dia lihat tiga penjenayah berkenaan berlari menaiki motosikal dan membawa bersama beg serta wang tunai.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, berkata selepas 20 minit kejadian pihaknya menangkap seorang daripada suspek berusia 28 tahun apabila anggotanya yang melakukan rondaan terserempak dengannya.


Katanya, anggotanya yang baru keluar dari balai polis Wangsa Maju terdengar suara wanita menjerit minta tolong sebelum bergegas ke tempat kejadian.

“Mangsa yang kesakitan menunjukkan arah tiga motosikal suspek sebelum anggota polis mengejar ketiga-tiga lelaki itu.


“Seorang daripada mereka ditahan di Seksyen 10, satu kilometer daripada tempat kejadian dan polis merampas pisau potong daging serta wang tunai yang disamun,” katanya.

No comments:

Post a Comment