Tuesday 30 August 2011

Bapa Sedih Pemergian Anak Di Pagi Syawal


KUALA TERENGGANU: “Saya tidak menyangka hari raya tahun ini kami akan pulang membawa jenazahnya. Malah, sedih apabila pemergiannya secara mengejut di pagi Syawal tanpa sempat kami bermaafan,” kata Zaimi Mustapha, 50, bapa kepada Mohd Amirul Saedi, 21, yang maut dalam kemalangan jalan raya berhampiran Kampung Losong Haji Su, di sini, pagi semalam.


Kemalangan berlaku kira-kira jam 7.15 pagi ketika mangsa bersendirian menunggang motosikal Yamaha 125Z dalam perjalanan pulang ke rumah keluarganya di Perumahan Polis Padang Hiliran, di sini, selepas keluar mengisi minyak motosikal di bandar raya ini.

Zaimi yang juga pegawai penyiasat berpangkat sarjan di Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan anak ketiganya itu maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas sebelum merempuh tiang elektrik sebaik tiba di tempat kejadian.


“Ketika itu kami dalam perjalanan pulang ke kampung di Bachok, Kelantan dan sebaik tiba di Kampung Bukit Putera, Setiu, kami menerima berita sedih melalui panggilan telefon daripada rakan anak sebelum berpatah semula ke Kuala Terengganu.

“Saya terkedu ketika menerima berita sedih itu dan tidak menyangka kehilangan anak ketiga kerana pada malam sebelum kejadian arwah tidak menunjukkan sebarang petanda yang dia akan pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya.


“Pada malam itu, kami berbincang untuk balik beraya di Kampung Gunong, Bachok dan bersetuju untuk pulang dengan menaiki satu kereta saja pada jam 7 pagi walaupun sebelum ini arwah pernah balik sendirian dengan menunggang motosikal.



“Bagaimanapun, saya pasti arwah berubah fikiran dan mahu pulang sendirian sebelum keluar rumah untuk mengisi minyak motosikal selepas menunaikan solat Subuh,” katanya.

Zaimi berkata, selepas mendapati arwah tiada di rumah, dia bersama ahli keluarga lain membuat keputusan bertolak ke kampung tanpa arwah kerana beranggapan arwah akan pulang sendiri dengan menunggang motosikal kerana sebelum ini pernah berbuat demikian.


Katanya, jenazah anaknya tiba di Bachok kira-kira jam 4 petang semalam dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gunong, Bachok, kira-kira jam 5 petang, hari sama.

Dalam kejadian lain, seorang lelaki maut selepas motosikal ditungganginya terbabas sebaik melalui Jalan Abdul Rahman Limbong, di sini, kira-kira jam 6.50 pagi, semalam.


Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa, Zamzuri Deraman, 28, dari Kampung Gong Pak Maseh, di sini, dalam perjalanan menghala ke Jalan Pasir Panjang, di sini, sebelum terbabas sebaik tiba di jambatan berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Razali, di sini.


Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin, berkata kemalangan itu menyebabkan mangsa yang tercampak di susur jambatan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.

No comments:

Post a Comment