Monday 29 August 2011

Nyaris Jadi Gila Selepas Disahkan Lumpuh


IPOH: “Saya pernah merasa menjadi orang gila...meracau hampir setiap malam malah, pernah sembunyi bawah katil serta bercakap sendirian.


“Enam bulan saya hidup dalam kegelisahan, putus asa dan hilang harapan untuk meneruskan kehidupan kerana tidak dapat menerima hakikat disahkan lumpuh,” kata Mohd Azhari Jamalludin, 30, yang lumpuh akibat kemalangan 10 tahun lalu.

Mohd Azhari yang menetap di Halaman Meru Damai, di sini hanya mampu terlantar di katil sejak 10 tahun lalu selain bergantung pada bantuan RM300 sebulan diberikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menampung kehidupan.




Dia yang juga anak sulung daripada lima beradik pernah hilang kewarasan diri sebaik doktor mengesahkan dia lumpuh kesan daripada kecederaan tulang belakang akibat kemalangan itu, namun dia bernasib baik kerana kedua-dua belah tangannya masih mampu bergerak.

“Saya tidak pernah terfikir untuk menjadi gila namun, tragedi (kemalangan) yang menimpa itu cukup berat untuk diterima. Ia mencabar kewarasan diri saya.


“Hampir enam bulan saya hidup dalam ‘dunia’ yang saya cipta sendiri. Fikiran saya melayang setiap masa, apa yang saya fikirkan ketika itu adalah mahu mati sahaja,” katanya..



Katanya, dia bernasib baik kerana bapa, Jamalludin Ahmad Basri, 60, dan ibu, Che Tah Mohamed Kahar, 58, berada di sampingnya setiap masa.

Mohd Azhari berkata, enam bulan pertama selepas kemalangan itu, bapa membawanya berubat secara tradisional bagi memulihkan semangat.


"Alhamdulillah, saya pulih sampai sekarang. Benar apa orang kata, kita kena reda dengan apa yang berlaku. Saya reda dengan apa yang berlaku dan kini saya berasa sangat lapang kerana masih diberi kekuatan untuk hidup.

“Ujian yang diberikan Tuhan ini cukup berharga,” katanya.


Katanya, selepas 10 tahun terlantar, dia kini sudah kembali sihat malah kedua-dua tangannya umpama ‘senjata’ utama bagi melakukan tugas ringan termasuk bergerak.


Mohd Azhari berkata, kini, dia melakukan kira-kira 200 tekan tubi setiap hari bagi membolehkan tangannya cukup kuat dan bertenaga.


“Doktor sering pesan kepada saya supaya tidak berhenti melakukan senaman kerana ia boleh membantu melancarkan pengaliran darah dalam badan seterusnya membantu memulihkan semula urat saraf yang rosak.


“Saya yakin dan berharap dalam berjalan semula suatu hari nanti. Malah, doktor juga mengesahkan ramai pesakit lumpuh seperti saya pulih dan mampu berjalan semula,” katanya.


Menurutnya, dia bernazar untuk mendalami ilmu agama sekiranya dapat berjalan semula.


Malah, katanya, dia merancang memasuki sekolah pondok dan mahu menjadi tahfiz kerana sangat meminati ilmu tarannum Al-Quran.


Mohd Azhari adalah salah seorang penerima bantuan Aidilfitri disampaikan Takaful Ikhlas Sdn Bhd (Takaful Ikhlas) cawangan Perak yang diserahkan sendiri Ketua Takaful Ikhlas Wilayah Perak, Zainal Rahmat Md Zain.

No comments:

Post a Comment