Monday, 8 August 2011

Kemalangan Sedarkan Awi Rafael Dari ‘Hanyut’



Awi di majlis berbuka puasa Muzik FM di Hotel Pearl International, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.
PETALING JAYA: Sejak terlibat dengan kemalangan jalan raya pada Rabu lalu, penyanyi Awi Rafael tidak putus bersyukur dan berjanji untuk lebih menumpukan kepada ibadat harian.
Penyanyi lagu Pulanglah dan Bila Aku Jatuh Cinta ini yakin Allah masih menyayangi dirinya dan memberikan peluang untuk dia berubah ke jalan yang baik agar tidak terus hanyut dengan populariti yang diraih.
“Saya akui bila mendapat terlalu banyak perhatian, kadangkala kita lupa siapa kita di sisi Allah. Saya bersyukur kerana Allah memberikan petunjuk lebih awal untuk saya berubah. Jadi, saya perlu perbetulkan solat dan banyakkan amalan ibadat.
“Sebelum ini, mungkin saya terlalu peramah dengan semua orang dan bersikap acuh tak acuh dengan solat,” katanya kepada mStar Online ketika ditemui di majlis berbuka puasa Muzik FM di Hotel Pearl International, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.
Malah, Awi juga semakin rajin mengerjakan solat terawih dengan rakan-rakannya pada bulan Ramadan ini.
Paling penting, dia bersyukur kerana dirinya selamat dalam kemalangan yang berlaku di Lebuhraya Persekutuan itu pada sekitar pukul 5 petang selepas menjalani sesi fotografi dengan sebuah majalan hiburan di Shah Alam.
“Saya rasa bersyukur dan terperanjat dengan insiden itu serta sempat mengucap istighfar. Kereta jenis Triton yang saya naiki remuk teruk akibat melanggar pokok.
“Nasib baik saya tidak mengalami kecederaan teruk melainkan luka sedikit di dahi. Waktu itu, saya memakai baju Melayu dan songkok. Jadi, songkok itu telah menyelamatkan kepala saya yang terhantuk di cermin tingkap.
“Selepas terlibat dengan kemalangan itu, terus saya ke klinik dan merawat luka di dahi. Tengkuk saya juga masih berasa kebas selepas kemalangan itu tetapi setakat ini doktor mengesahkan tiada apa-apa kecederaan dalaman,” jelasnya lagi.
Tambahnya, sewaktu keretanya berpusing sebanyak tiga kali sebelum melanggar pokok dan turut melanggar beberapa buah kenderaan di situ turut mengingatkan Awi kepada ibu dan bapanya yang tinggal berjauhan daripadanya.
Setelah ibu dan bapanya berpisah lapan tahun lalu, ibunya menetap di Pontian, Johor manakala bapanya berada di Indonesia.

No comments:

Post a Comment