PELUANG dapat bermain sebuah permainan moden alaf baru yang dinamakan Galactic Laser di sebuah pusat membeli-belah terkenal di Lembah Kelang baru-baru ini sememangnya memberikan pengalaman baru buat juara Akademi Fantasia kesembilan (AF9), Hazama dan rakan seangkatannya, Fina.
Hazama atau nama sebenarnya, Hazama Ahmad Azmi, 26, yang baru pertama kali mencuba permainan tersebut mengakui, ia amat menyeronokkan kerana berasa seperti berada di medan pertempuran yang sebenar.
“Walaupun letih apabila terpaksa berlari ke sana sini, saya tidak kisah kerana saya sudah biasa bab kejar mengejar dan melarikan diri.
“Asalkan ia menyeronokkan, saya akan terus bermain sehinggalah benar-benar keletihan. Selagi tidak tersungkur, selagi itulah saya akan bermain permainan ini,” katanya yang dilihat begitu tertarik dengan Galactic Laser yang seakan-akan permainan paintball itu.
Tambah Hazama, sebelum ini dia pernah bermain paintball tetapi ia agak menyakitkan dan akan meninggalkan kesan lebam di anggota badannya.
Tetapi, tambahnya, Galactic Laser tidak menyakitkan langsung malah kalau boleh, dia mahu bermainnya setiap hari.
“Apatah lagi kalau dapat bermain dengan rakan-rakan, ia akan jadi bertambah seronok.
“Game ini boleh disertai sehingga 20 orang pada satu-satu masa. Jadi selepas ini, kalau berkesempatan, saya mahu bawa satu bas,” seloroh Hazama yang sememangnya suka bergurau.
Sementara itu, Fina atau Nor Syafinaz Jebat, 18, memberitahu, dia amat teruja dengan permainan itu dan tidak menyangka ia wujud.
Katanya, dalam era moden sekarang ini, bermacam-macam perkara di luar jangkaan boleh berlaku.
“Hebat sangat teknologi yang ada sekarang sehinggakan permainan secanggih ini pun sudah wujud.
“Kalau dahulu, masa zaman kanak-kanak, hanya ada permainan video sahaja. Itu pun dah kira canggih.
“Kini, macam-macam permainan lebih canggih sudah ada. Bertuah kanak-kanak sekarang,” katanya yang mengakui agak kekok bermain Galactic Laser.
Walaupun tidak pandai bermain permainan tersebut, Fina tetap merasai keseronokannya apabila melihat keriuhan setiap pemain yang sedang bertempur.
Fina yang tidak berhenti menjerit sedari awal permainan itu bermula nyata menjadi sasaran mudah musuh untuk mengesan kedudukannya.
Manakan tidak, ujar Fina, keterujaan apabila dapat menembak musuh dan pada masa yang sama, ketakutan apabila ditembak membuatkan gadis itu tidak boleh duduk diam.
“Serak suara saya dibuatnya. Seronok pun ada, takut pun ada. Jadi, macam mana saya nak berhenti menjerit?
“Apa pun, ini adalah permainan paling best pernah saya sertai. Selepas ini, saya akan bawa satu famili merasai keseronokan bermain Galactic Laser,” jelas Fina yang kini popular dengan singlenya, Menangis Lagi.
No comments:
Post a Comment