Thursday, 19 January 2012

Akhirnya Azwan Ali ajak adiknya Ummi Hafilda berdamai

‘Kami berdamai’ 
KEMBALI BERSATU...Azwan menyambung semula ikatan silaturahim dengan adiknya Ummi Hafilda, semalam.

KUALA LUMPUR: “Saya buat begini kerana memikirkan emak yang mahu melihat anak-anaknya kembali bersatu sebagai satu keluarga. Saya harap dengan adanya sidang media ini, semuanya akan terhenti di sini dan tiada lagi isu mengaitkan saya dan Ummi Hafilda.

“Mulai saat ini (17 Januari 2012), saya tidak akan menghina, mengeji, mengaibkan dan melakukan serangan peribadi yang mungkin membawa kepada fitnah dahsyat terhadap Ummi dengan segala perkataan yang kesat dan keji tidak sepatutnya dan tidak sewajarnya keluar dari mulut seorang abang.

“Sebagai manusia, saya akui sebagai hamba yang lemah dan tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan, saya akui sudah tersilap membuat andaian negatif terhadap dia semata-mata hanya bersandarkan hasutan manusia tidak bertanggungjawab serta mempunyai agenda tersembunyi yang saya tidak sedar ketika itu,” kata personaliti hiburan tanah air, Azwan Ali.

Tampil dengan pengakuan bersumpah yang ditulisnya sendiri untuk tidak memburukkan lagi adiknya itu dan melupakan konflik yang berlaku sebelum ini, Azwan menyifatkan apa yang berlaku antara saudara kandungnya sebagai masalah keluarga dan ia sudah selesai dengan permohonan maaf secara terbuka kepada Ummi Hafilda.

Katanya, sebagai abang, dia memohon jutaan maaf kepada Ummi dan ibunya, Che Tom Yahya di atas apa yang berlaku dan berharap hal kekeluargaan seperti itu akan terjawab dengan pengakuan sumpah berkenaan.

No comments:

Post a Comment