Selain berhasrat membantu negeri kelahirannya menjulang piala paling berprestij dalam kancah bola sepak itu, dia juga ingin ‘memikat hati’ pengendali Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal agar kembali disenaraikan dalam skuad negara selepas tersisih hampir setahun akibat kecederaan anterior cruciate ligament (ACL).
“Ini peluang saya untuk membantu skuad negeri dan secara tidak langsung peluang untuk beraksi di pentas antarabangsa. Namun saya tidak mahu tergesa-gesa memburu tempat ke skuad Harimau Malaya kerana bimbang kecederaan sama akan berulang.
“Saya mahu mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama Negeri Sembilan terlebih dulu dan cergas sepenuhnya sebelum mengalih tumpuan ke peringkat lebih tinggi sekiranya dipanggil ketua jurulatih negara,” katanya yang kini sudah turun beraksi dalam beberapa perlawanan persahabatan.
Pemain berusia 24 tahun itu yang juga tonggak pasukan memenangi pingat emas Sukan Sea 2009 bagaimanapun menyifatkan kecederaan dialaminya adalah asam garam dalam kehidupan pemain bola sepak.
Usaha Mohd Zaquan Adha untuk kembali tersenarai dalam kesebelasan utama Harimau Malaya tampak sukar selepas gandingan baik Norshahrul Idlan Talaha dan Mohd Safee Sali ketika menjulang Piala AFF penghujung tahun lalu selain kehadiran penjaring terbanyak Liga Super, Abdul Hadi Yahaya.
Namun ia bukan mustahil kerana abangnya, Mohd Aildil Zafuan Abd Radzak juga turut terlepas aksi Piala AFF sebelum ini kerana kecederaan tapi berjaya menempatkan diri kembali dalam kesebelasan utama menerusi beberapa perlawanan persahabatan sepanjang tahun ini.
No comments:
Post a Comment