GUA MUSANG: Seorang daripada empat pelajar sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dekat sini, bukan saja dijemur bersama tiga rakannya di tengah panas hampir empat jam tetapi turut menerima hukuman seperti tawanan perang apabila tubuh mereka diletakkan kerengga.
Kejadian kira-kira jam 8 pagi Rabu lalu itu turut disaksikan lebih 700 pelajar sekolah berkenaan ketika sesi perhimpunan pagi dan empat guru didakwa antara yang terbabit melaksanakan hukuman itu.
Selain dijemur dan diletakkan kerengga, pelajar itu bersama tiga rakannya yang semuanya tingkatan dua turut dipukul, disepak dan ditampar.
Tiga daripada mereka nyaris pengsan akibat berdiri terlalu lama, manakala seorang lagi didera dengan dipaksa menolak motosikal ditunggang seorang guru berbadan besar sebelum dibenarkan masuk ke kelas.
SAKIT ...Yusma Azuan Sakri menunjukkan calar di betis akibat dirotan guru.
Selepas hukuman selesai, semua pelajar terbabit dibenarkan masuk ke kelas kira-kira jam 11 pagi, manakala penjaga mereka dipanggil untuk mengadakan perbincangan bersama empat guru yang melaksanakan hukuman itu.
Difahamkan, hukuman itu berpunca akibat salah faham selepas seorang daripada pelajar terbabit, Rafizul Zaki, 14, yang juga pelajar miskin kehilangan komputer riba diberikan kerajaan pada 27 September lalu.
No comments:
Post a Comment