PETALING JAYA: Aktres Julia Ziegler menuntut pengacara Didie Alias untuk melalukan permohonan maaf kerana membuat tuduhan tidak benar kononnya dia mempunyai hubungan sulit dengan seorang jurugambar yang terlibat dalam penggambaran drama Noktah Erna, dua tahun lalu.
Julia berkata, dia mahu Didie berhenti menyebarkan cerita tersebut kerana perbuatan itu benar-benar menjejaskan nama baiknya sebagai seorang pelakon.
“Cerita ini dua tahun lalu dah heboh tetapi ia hanya dibualkan di kalangan orang produksi sahaja. Tapi yang membuatkan saya marah apabila ia masih lagi diperkatakan orang termasuklah disebut-sebut lagi oleh seorang pengacara baru.
“Saya memang sengaja memberi peringatan kepadanya (Didie) agar tidak terus membesarkan cerita ini walaupun dia lebih senior dalam dunia hiburan tapi saya mahu dia menghormati saya,” ujarnya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Selasa.
Dalam sebuah rancangan hiburan minggu lalu, Julia Ziegler membuat dakwaan dengan mengatakan Didie Alias telah memfitnahnya tidur dengan seorang jurukamera ketika penggambaran drama Noktah Erna.
Sementara itu, dalam laporan mStar Online Selasa, Didie Alias menafikan tuduhan Julia Ziegler itu.
Tambah Julia, khabar angin tersebut sememangnya memberi kesan kepada dia dan keluarga serta menjejaskan maruahnya.
“Saya tidak buat perkara tersebut tapi macam-macam cerita saya dengar tentang saya. Sebagai perempuan sudah tentu saya tidak mahu dilabel sebagai perempuan murahan.
“Saya juga ingin kahwin satu hari nanti, saya tak mahu nanti keluarga suami saya berfikir yang tidak baik tentang saya,” katanya.
Julia memberitahu, Didie yang bertugas sebagai Pengurus Produksi untuk projek drama berkenaan juga gagal menjelaskan bayaran sewa kereta miliknya yang digunakan untuk penggambaran drama berkenaan.
Katanya sebagai Pengurus Produksi Didie telah dipertanggungjawab dalam urusan tersebut tetapi dia tidak menjelaskan bayaran sebagai mana yang dijanjikan walaupun puas diminta.
“Saya dah banyak kali hubungi dia dan suaminya untuk selesaikan perkara ini, namun tidak ada sebarang respons daripada mereka,” katanya kesal.
No comments:
Post a Comment