KUALA LUMPUR: Anak tiri Datuk Siti Nurhaliza Taruddin iaitu Adib Khalid,21, mengakui dia sudah mula menjaga tingkah laku sejak melibatkan diri dalam industri hiburan tempatan.
Adib yang baru sahaja menubuhkan syarikat rakaman, What's Up Entertainment berkata, dia tidak boleh lagi berperangai kebudak-budakan memandangkan dia kini menjadi perhatian umum, lebih-lebih lagi selepas menerbitkan album Inggeris Siti Nurhaliza iaitu All Your Love.
"Sebelum ini, walaupun saya tidak ada kaitan dengan industri hiburan tempatan, pelbagai gosip dan gambar-gambar saya disebarkan di Internet.
"Jadi, apabila berada dalam industri, sudah pasti saya akan menjaga tingkah laku agar tidak dipandang serong oleh masyarakat," katanya.
Namun begitu, katanya, hal itu tidak bermakna dia perlu berpura-pura dan menjadi hipokrit dengan diri sendiri.
Tambah Adib, dia tahu dirinya masih baru dalam perniagaan industri seni dan justeru, dia ingin lebih mendalami berkaitan bidang tersebut supaya misinya sebagai seorang peniaga muda berjaya tidak tersasar.
"Sekarang ini, saya masih lagi belajar di Universiti Royal Melbourne Institute of Technology (RMIT), Australia dalam bidang Pengurusan Perniagaan dan Pemasaran.
"Pada masa yang sama, saya cuba berkenalan dengan penggiat-penggiat seni di luar negara. Insya-Allah What's Up akan bertapak dengan kuat di samping sokongan dan bantuan ayah saya, Datuk Sero Khalid Mohamad Jiwa dan Siti," ujarnya.
Sementara itu, ditanya adakah dia turut mencuba menyertai di bidang perniagaan drama atau filem, kata Adib, dia masih belum memikirkan tentang hal tersebut lagi.
No comments:
Post a Comment