KUANTAN: Sekumpulan remaja yang berkelah di Sungai Mas, Perkampungan Orang Asli, Sungai Lembing, di sini, kira-kira jam 2 petang kelmarin, terkejut apabila menemui mayat seorang gadis tersepit di celah batu.
Sebelum kejadian, remaja terbabit sedang berkelah sambil menikmati hidangan tengah hari dan secara tidak sengaja terpandang objek di celah batu lalu memberanikan diri membuat pemeriksaan.
Bagaimanapun, belum sempat menghampiri objek itu, seorang daripada remaja terbabit mengecam objek itu adalah mayat sebelum menghubungi Balai Polis Panching untuk meminta bantuan.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Deputi Superintendan Kamaruzzaman Jaafar berkata, sepasukan anggota polis bersama anggota Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota bergegas ke tempat kejadian dan mengangkat mayat itu naik ke tebing.
Menurutnya, polis tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri dalam poket seluar mayat gadis terbabit yang berusia 20-an sebelum mayat itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk bedah siasat.
Katanya, siasatan mendapati, mayat gadis terbabit berambut keperangan paras bahu lengkap memakai baju T berwarna putih jenama Polo serta berseluar jeans berwarna biru gelap.
“Mayat gadis itu yang berkulit sawo matang ditemui masih sempurna selepas 12 jam berada dalam air namun polis tidak dapat memastikan bangsa sebenar gadis terbabit kerana bedah siasat masih belum dijalankan lagi.
“Hasil pemeriksaan awal, tiada sebarang kecederaan atau luka ditemui pada tubuh mangsa namun bedah siasat akan dijalankan pada petang ini (Sabtu) bagi mengenal pasti punca kematian sebenar,” katanya di sini, semalam.
Menurutnya, sehingga kini, polis masih belum menerima laporan terbaru kehilangan orang awam namun akan membuka serta menyemak semula laporan orang hilang sebelum ini bagi memudahkan siasatan dijalankan.
Katanya, sehingga kini, polis mengklasifikasikan kes terbabit sebagai mati mengejut namun akan menukarkan semula seksyen jika penemuan mayat gadis berkenaan terdapat perbuatan berunsur jenayah.
Kamaruzzaman berkata, polis meminta orang ramai kehilangan ahli keluarga tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Kuantan atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan T Murugesu di talian 012-9003661.
No comments:
Post a Comment