“Saya telah dapat pembeli yang berminat. Saya akan menjualnya,” kata David Dopp pada Rabu.
“Saya mempunyai bil untuk dijelaskan dan ia lebih penting daripada Lamborghini. Saya ada keluarga untuk ditanggung.”
Dopp, 34, terlibat dalam kemalangan selepas gagal mengawal kereta terbabit beberapa jam selepas menerima kunci kereta itu dalam pertandingan yang dianjurkan oleh kedai serbaneka Maverik.
Kereta berhud berwarna hijau pucuk pisang itu telah ditunda oleh syarikat insuran dan akan dihantar kepada pengedar berlesen di Las Vegas untuk dibaiki pada minggu hadapan.
Dopp memberitahu, kereta tersebut hanya mengalami ‘kerosakan kecil’ termasuk kemek dan calar di bahagian depan dan belakang.
Bapa kepada enam orang anak itu menambah, dia tidak mampu untuk membayar cukai dan insuran kereta tersebut yang berjumlah AS$3,500 (RM 11,100.25) setiap enam bulan.
“Itu adalah sebab mengapa hanya orang kaya yang mampu memilikinya dan orang miskin seperti saya tidak,” katanya.
Dopp membawa ahli keluarga dan rakan-rakannya untuk bersiar-siar dengan kereta sebaik sahaja mendapat kereta itu dan berkata, dia sedang memandu pada kadar kelajuan 45mp (72 kph) apabila kereta itu terlanggar ais dan berpusing.
Kereta itu kemudiannya melanggar pembahagi jalan dan berhenti kira-kira 75 kaki daripada jalan raya.
Dopp dan penumpang kereta itu dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Polis berkata, kereta tersebut tidak sesuai digunakan di bandar Santaquin yang terletak kira-kira 88 kilometer dari Salt Lake City kerana tayar kereta itu yang tidak sesuai dengan permukaan jalan yang dilitupi ais dan licin.
Rakaman video menunjukkan Dopp melompat kegembiraan dan kelu untuk berkata-kata sebaik sahaja diumumkan sebagai pemenang dalam peraduan tersebut.
Dia perlu mengambil insuran terlebih dahulu sebelum dibenarkan membawa kereta tersebut pulang.
“Itu (mengambil insuran) adalah perkara yang baik,” katanya
No comments:
Post a Comment