MADINAH – Tahap kesihatan seorang amah Indonesia, Sumiati Salan Mustapa, berusia 23, yang bibirnya digunting oleh isteri majikannya pada 8 November lalu di Madinah, Arab Saudi semakin pulih, lapor sebuah akhbar semalam.
Pendedahan itu dibuat ketika Menteri Hal Ehwal Wanita Indonesia, Linda Agum Gumelar akan mengetuai sepasukan pegawai untuk memantau siasatan kes tersebut di Arab Saudi hari ini.
Pegawai dari Konsulat Indonesia di Jeddah, Didi Wahyudi menyatakan pemulihan Sumaiti adalah mengagumkan.
Sumiati yang dimasukkan ke sebuah hospital di Madinah pada 8 November lalu juga didapati sudah berhenti menangis dan mula bercakap.
“Sumiati semakin pulih dari segi fizikal dan mental. Selera makannya sudah ada. Ketika saya melawatnya, dia meminta nasi dan bakso. Ekoran restoran Indonesia di Arab Saudi ditutup kerana cuti, kami di konsulat membuat bakso untuknya,” kata Didi.
Pihak hospital tidak menyediakan roti kerana bimbang makanan itu akan mengingatkan Sumiati terhadap penderaan yang dialaminya.
Selepas didera, majikannya memberinya sekeping roti dan air.
Sumiati mengalami kecederaan serius terutama di bahagian muka dan bibirnya yang dipercayai digunting, jari tengahnya retak, badannya mempunyai kesan dibakar selain banyak kecederaan dalaman.
Wahyudi menyatakan, laporan telah dibuat di balai Polis Faisaliah pada 10 November lalu berhubung kejadian itu.
Menurutnya, majikan Sumiati dan seorang anak lelaknya telah ditahan untuk disoal siasat.
“Mereka ditahan di Madinah kerana disyaki terbabit melakukan penyeksaan terhadap Sumiati,” katanya.
Menurut Didi, mereka ditahan selepas aduan rasmi dibuat oleh Kedutaan Besar Indonesia selain laporan hasil pemeriksaan doktor dan siasatan polis Arab Saudi berhubung keadaan mangsa.
No comments:
Post a Comment