Sunday, 31 July 2011

Khairul Fahmi Perlu Bijak Tangani Masalah Peribadi


Khairul Fahmi Che Mat
Khairul Fahmi Che Mat
“SAYA berharap dia dapat menyelesaikan masalah itu dengan cara terbaik,” kata pengurus skuad Kelantan, Azman Ibrahim berhubung keputusan mengejut penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat memutuskan tali pertunangan dengan Aimie Harmelia Mohd Hashumi, 22, Jumaat lalu. 

Katanya, dia tidak mahu Khairul Fahmi membabitkan masalah peribadi dengan kerjayanya sehingga boleh menjejaskan prestasi selaku penjaga gol nombor satu negara.
“Saya tak nak campur tangan dalam urusan peribadinya, namun sebagai pengurus, saya mahu semua masalah dapat diselesaikan baik.

“Saya tidak mahu ia menjejaskan tumpuan. Dia harus bijak mengasingkan masalah peribadi dengan kerjaya,” katanya ketika dihubungi, semalam. 

Kelmarin, sebuah akhbar tabloid melaporkan Apek memutuskan pertunangannya dengan Aimie selepas pelbagai isu mengaitkan orang ketiga dengannya menerusi pelbagai laman web dan blog tempatan. 

Sementara itu, ketua pasukan The Red Warriors, Mohd Badhri Radhzi, berkata dia terkejut dengan apa yang berlaku kepada rakan sepasukannya itu. 

“Selepas membaca berita ini melalui akhbar, saya begitu terkejut dengan apa yang menimpa Apek. Saya berharap dia dapat bersabar dan tidak terlalu memikirkan mengenai perkara itu sehingga mengganggu prestasinya.

 
“Saya akui dia adalah seorang penjaga gol terbaik negara ketika ini dan sudah dibuktikan ketika perlawanan menentang Singapura, Khamis lalu. Sebagai rakan dalam pasukan Kelantan, saya tidak mahu perkara itu akan menjejaskan prestasinya terutamanya membantu Kelantan mengekalkan kejuaraan Piala Malaysia,” katanya yang lebih dikenali dengan panggilan, Piya. 

No comments:

Post a Comment