Friday, 29 July 2011

Kekalahan Jadi Pengajaran - Safee


Safee Sali



KUALA LUMPUR - Penyerang skuad Harimau Malaya, Safee Sali ternyata kecewa dengan penyingkiran Malaysia pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 dan menganggap kegagalan tersebut sebagai pengajaran buat semua pemain.

Sukar untuk ditafsirkan erti 'pengajaran' tersebut tetapi mungkin apa yang dikatakan Safee terarah kepada kelemahan pasukan Malaysia yang banyak perlu diperbaiki, walaupun sebelum ini dijulang dengan kejayaan pingat emas Sukan SEA 2009 dan Piala Suzuki AFF.

Menurut penyerang kelab Indonesia, Pelita Jaya itu, mereka sudah memberikan yang terbaik pada perlawanan kelmarin dengan melancarkan serangan ke atas kubu Singapura tetapi hanya berjaya memperoleh satu gol.

"Kita gagal untuk menjaringkan gol selepas itu malah melepaskan gol kepada pihak lawan, barisan pertahanan sedikit leka. Untuk itu saya meminta maaf kepada penyokong kerana gagal membantu Malaysia mara ke pusingan seterusnya ," katanya selepas perlawanan kelmarin.

Jelasnya, Singapura adalah sebuah pasukan yang bagus dan dia bersama rakan-rakan yang lain sudah mencuba sedaya upaya untuk menjinakkan skuad bimbingan Radojko Avramovic namun gagal.

"Kami mencuba sebaik mungkin untuk kembali merapatkan defisit gol bagaimanapun mereka dapat bertahan dengan baik dan saya begitu kecewa kami gagal walaupun saya dapat menjaringkan tiga gol dalam kedua-dua perlawanan.
"Apa pun ini adalah pasukan muda, perjalanan mereka masih jauh lagi, saya harap mereka dapat bangkit semula pada perlawanan atau kejohanan seterusnya selepas ini," kata Safee.

Safee bertindak sebagai ketua pasukan kelmarin, menggantikan Safiq Rahim yang digantung perlawanan akibat menerima kad merah pada perlawanan pertama di Stadium Jalan Besar, Singapura yang menyaksikan Malaysia tewas 3-5.
Kelmarin, di Stadium Nasional Bukit Jalil skuad Harimau Malaya sekadar mencatat keputusan seri 1-1 , menjadikan agregat 4-6 seterusnya gagal untuk ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia walaupun mendapat sokongan 90,000 penyokong.
Bagaimanapun Safee mengakui tahap keyakinannya semakin meninggi selepas menimba ilmu dalam Liga Super Indonesia bersama pasukan Pelita Jaya dan segala pengalaman tersebut digunakan sebaiknya ketika beraksi dengan skuad kebangsaan.

"Saya akan berlatih bersungguh-sungguh untuk terus meningkatkan permainan saya. Saya tidak boleh berpuas hati setakat ini sahaja, banyak perkara lagi yang perlu saya pelajari," kata pemain berusia 27 tahun itu.
Safee memberikan sedikit harapan kepada penyokong Malaysia apabila menjaringkan gol pada minit ke-57 kelmarin.
Namun 13 minit kemudian Shi Jiayi berjaya menyamakan kedudukan seterusnya menutup peluang Malaysia.

No comments:

Post a Comment