London – Penyanyi dari United Kingdom, Tulisa Contostavlos, menarik perhatian dunia hiburan antarabangsa apabila tampil mengesahkan bahawa gadis di dalam video seks yang hangat diperkatakan baru-baru ini di internet adalah dirinya.
Sedih dan kecewa dengan penyebaran yang memalukan dirinya itu, Tulisa menjelaskan bahawa dia menyedari kesilapannya dahulu dan menegaskan bahawa dia tidak akan duduk diam serta membiarkan dirinya terus dianiaya.
Menceritakan mengenai video seks tersebut, penyanyi berusia 23 tahun itu menyatakan bahawa dia telah dianiaya oleh bekas teman lelakinya yang sangat dicintainya dahulu, Justin Edwards atau lebih dikenali sebagai Ultra.
“Saya mula bercinta dengan Ultra sejak berusia 17 tahun…
“Saya pernah berpindah masuk tinggal dirumahnya, cinta saya padanya sangat mendalam dan sangat menghormatinya, kami sering berbicara mengenai anak dan perkahwinan..,” katanya yang dipetik rakaman video khas di Youtube bagi menjawab isu skandal yang mengaibkan dirinya itu.
Menurut Tulisa, dia tidak terkejut dengan penyebaran video seks tersebut memandangkan pernah diberi amaran oleh kenalan-kenalannya mengenai Ultra yang dikatakan cuba menggunakan rakaman tersebut untuk mengugutnya untuk mendapatkan wang atau memusnahkan kariernya.
Dia memberanikan diri untuk bertemu dengan Ultra untuk mendapatkan penjelasan mengenainya, namun bekas teman lelakinya itu menafikan perkara tersebut dan Tulisa yakin bahawa lelaki yang pernah dicintainya itu berbohong.
“Saya bersemuka dengannya dan dia berbohong. Dia nafikan sepenuhnya dan kini video tersebut tersebar di talian (internet).
“Seperti yang anda lihat, saya (hampir) musnah, saya kecewa, saya terpaksa hidup di dalam kepahitan dalam masa beberapa hari ini.
“Apabila anda berkongsi hubungan intim anda dengan seseorang yang anda sayangi, seorang yang anda ambil berat dan percaya, anda tidak akan terbayang bahawa detik-detik tersebut akan dikongsi bersama orang di seluruh UK (United Kingdom) dan di seluruh dunia,” katanya kesal dengan apa yang berlaku.
Skandal video seks Tulisa berdurasi selama 6 minit tersebar di internet baru-baru ini dan memaksanya mengarahkan peguam untuk mendapatkan injunksi melarang rakaman tersebut disiarkan dalam apa jua bentuk medium.
Dipercayai rakaman tersebut yang memaparkan Tulisa sedang mengadakan hubungan seks dibuat oleh teman lelakinya itu menggunakan telefon bimbit. – Mynewshub.my
No comments:
Post a Comment