Tuesday, 20 March 2012

[Video] Rakaman penuh CCTV Rafizi dilanggar dari belakang


Al-Fatihah...Takziah buat keluarga Rafizi...

Pelumba Kelab Basikal Le Tua, Rafizi Hamdan, 37, maut dalam satu kejadian langgar lari di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), di kilometer 20.2, Taman Melawati, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 7.50 pagi itu, mangsa, dari Bukit Kepayang, Negeri Sembilan, dirempuh dari belakang oleh sebuah Proton Saga yang dipercayai dipandu laju.

Pemandu kenderaan itu melarikan diri tanpa menyedari nombor pendaftarannya tertanggal berhampiran mayat mangsa.

Rafizi yang dikatakan dalam perjalanan mengayuh basikal untuk bertemu ahli kelab yang lain di Hospital Orang Asli, Batu 12, Gombak, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan serius di kepala.

Mangsa meninggalkan seorang isteri dan dua anak. Mayatnya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin, ketika dihubungi, mengesahkan kejadian berkenaan sebagai kejadian langgar lari namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan pemandu kereta berkenaan.

“Berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan ke atas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak berkenaan mendapati pemandu kereta gagal mengawal keretanya lalu merempuh basikal mangsa hingga mengakibatkan mangsa tercampak,” katanya.

Katanya, usaha mengesan pemandu terbabit giat dijalankan dan pihaknya yakin mangsa dapat diberkas dalam masa terdekat berdasarkan nombor pendaftaran yang ditemui.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) (a) Akta Pengangkutan Jalan atas kesalahan memandu secara melulu dan membahayakan hingga menyebabkan kematian.

No comments:

Post a Comment