NASIB BAIK...imej x-ray menunjukkan kedudukan anak panah di muka Tavernier.HERTFORDSHIRE (Britain): Seorang remaja bernasib baik kerana terselamat walaupun mukanya tertusuk anak panah sepanjang lebih 20 sentimeter, semalam.
Sebelum itu, Lewis Tavernier membawa busur panah ke rumah kawannya di Stevenage dan memasang penahan sebelum meletakkan alat itu dengan berhati-hati di atas meja berhampiran.
Bagaimanapun, ketika Tavernier, 17, leka berbual dengan rakannya, secara tiba-tiba anak panah itu meluncur ke arah remaja terbabit.
Berada di kedudukan kurang dari satu meter, anak panah itu terus menusuk ke muka dan terbenam hampir lapan sentimeter pada pipinya.
Imbasan x-ray menunjukkan tulang pipi Tavernier retak tetapi anak panah itu tidak merosakkan sebarang saraf serta salur darah penting yang ada kira-kira dua milimeter darinya.
Pelajar Sekolah Marriots itu berkata, dia sering menggunakan alat berkenaan sebelum ini dan tidak pernah lupa memasang alat keselamatan sebelum meletakkannya di mana-mana.
“Disebabkan itu, saya tidak berfikir banyak apabila meletakkan panah itu di atas meja,” katanya.
Bagaimanapun, Tavernier mengakui insiden itu aneh kerana tiada sesiapa berada di situ kecuali dia dan temannya.
“Kejadian berlaku amat pantas dan saya tidak perasan ia menusuk ke muka.
“Saya cuma ingat ada bertanya kepada rakan: “Ada anak panah di muka saya?” katanya.
Tavernier dikejarkan ke hospital oleh bapa rakannya dan ketika itulah baru dia berasa sakit.
Dia kemudian menjalani pembedahan segera di Hospital Lister bagi mengeluarkan anak panah berkenaan. - DM
No comments:
Post a Comment