Tuesday 10 April 2012

Pengakuan gadis 19 tahun jadi mangsa rakus sepupu sendiri

PENGAKUAN GADIS 19 TAHUN MANGSA RAKUS SEPUPU

Remaja comel yang baru berusia 16 tahun ini berasal dari salah satu negeri di Pantai Timur. Dia dibesarkan oleh nenek dan datuk selepas ibu dan ayahnya berpisah ketika usianya mencecah dua tahun.

Tertanam segunung impian di dadanya apabila dewasa kelak, segala pengorbanan dan kasih sayang yang dicurahkan oleh datuk dan nenek akan dibalas sebaik mungkin.

Namun segalanya berubah dengan sekelip mata apabila dia kini sedang sarat mengandung lapan bulan hasil daripada perbuatan terkutuk seorang lelaki yang dipanggil Angah (bukan nama sebenar) iaitu sepupu kepada abang tirinya.

Saat pertama kali bersua muka dengan Aina (bukan nama sebenar) terdetik perasaan kasihan dalam hati penulis kerana ketika ini tempat dia bukanlah di rumah perlindungan Taman Sri Puteri Cheras.

Sebaliknya dia sepatutnya berada bersama rakan-rakan di sekolah menuntut ilmu demi membela nasib keluarga.

Daripada riak wajahnya yang putih bersih itu tergambar seribu kesedihan yang terpaksa ditanggung akibat perbuatan tidak bertanggungjawab individu yang sepatutnya melindunginya.

Akibat daripada itu, dia kini seringkali trauma apabila berjumpa dengan lelaki dan terasa seperti mahu lari daripada mereka kerana sejarah hitam pernah dilaluinya ketika berusia 15 tahun.

Akuinya, dia bukanlah seperti remaja lain yang gemar bersosial bahkan hubungan dia dengan Angah tidaklah rapat.

“Kami juga tidak bersekolah di tempat sama. Kalau Angah datang rumah pun sebab nak berjumpa dengan abang dan kakak tiri saya,” katanya.

Imbas Aina, tragedi hitam yang berlaku pada waktu petang pada tahun lepas telah meninggalkan kesan mendalam dalam hidupnya.

“Ketika itu saya tinggal berseorangan di rumah kerana keluarga keluar ke bandar. Pada hari kejadian, ibu ada berpesan bahawa Angah akan datang ke rumah pada petang itu untuk menghantar beras.

“Namun sedar-sedar saya berada di sebuah rumah kosong yang terletak di hujung kampung.

“Saya cuma ingat pada petang itu Angah datang rumah untuk menghantar beras dan saya beritahu supaya dia tunggu di luar kerana tiada orang di rumah tetapi tiba-tiba terasa mulut saya ditekup dengan tangan dari arah belakang.

“Apabila sedar saya dapati diri berada di sebuah rumah kosong dalam keadaan yang amat memalukan.

“Hanya saya dan Angah berada di dalam rumah kosong tersebut, manakala tiga orang rakannya yang lain hanya menunggu di luar,” ulas Aina.

Aina berkata, selama empat hari dikurung dan beberapa kali dipukul kerana cuba melarikan diri, malah kesemua tingkap di rumah tersebut turut dipaku.

“Dalam tempoh itu juga saya tidak diberi makan, malah dipukul dan didera dengan teruk di badan,” ujarnya.

Selepas keluarga menemui semula Aina, abang-abangnya telah memukulnya kerana menyangka dia cuba melarikan diri dari rumah.

“Badan saya bukan sahaja dipukul malah kepala saya diketuk dengan lampu suluh sehingga lebam dan berdarah oleh abang.

“Mereka tidak percaya saya dirogol malah sengaja menuduh saya cuba melarikan diri dari rumah.

“Selepas kejadian itu saya jatuh sakit selama dua minggu dan trauma apabila melihat lelaki walaupun abang sendiri,” katanya.

Cerita Aina, selepas kejadian itu setiap hari neneknya membawa dia berjumpa doktor untuk membuat pemeriksaan bagi memastikan dia tidak mengandung.

Namun, penderitaan gadis ini belum berakhir kerana selepas dua bulan dia telah disahkan mengandung.

“Ketika itu, bercampur perasan malu dan geram memikirkan nasib dan cara untuk berhadapan dengan rakan-rakan di sekolah.

“Keluarga mengambil keputusan untuk menggugurkan kandungan, tetapi doktor memberitahu sudah terlambat kerana ketika itu janin dalam kandungan sudah mula membesar,” katanya.

Ujar Aina, kerana malu untuk berjumpa orang ramai dan rakan-rakan di sekolah dia telah menangguhkan persekolahan sementara menunggu bersalin.

Ujarnya, sebelum dihantar pusat penjagaan Taman Sri Puteri Cheras oleh emaknya, dia pernah tinggal di rumah keluarga angkat yang ingin mengambil anaknya untuk dijadikan sebagai anak angkat.

“Tetapi tidak lama saya tinggal di situ kerana ibu angkat pernah beberapa kali melemparkan bantal dan membaling pinggan ke arah saya.

“Selepas kejadian itu, emak membuat permohonan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memohon supaya saya diterima tinggal sementara di sini sehingga melahirkan anak,” katanya.

Ditanya perasaannya selepas tinggal di rumah perlindungan ini, ujar Aina dia berasa lebih tenang dan selamat berbanding hanya menghabiskan masa di rumah.

“Di sini saya rasa selesa dan tidak malu kerana kawan-kawan juga senasib dengan saya selain belajar untuk menghormati orang lain,” katanya.

Walaupun gadis ini sedang melalui saat getir dalam hidupnya, tetapi dia berazam selepas selamat melahirkan anak dia akan menyambung semula pelajarannya yang tertangguh dan meneruskan kehidupan yang baru

No comments:

Post a Comment