Friday, 2 December 2011

Siti Nurhaliza Dedah Rahsia Sendiri

Datuk Siti Nurhaliza

PETALING JAYA: Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin bakal mendedahkan perihal dirinya secara eksklusif menerusi dokumentari khas bertajuk Siti Nurhaliza yang bakal disiarkan di saluran History (ASTRO 555) pada 11 Januari 2012, bersempena ulangtahun kelahiran ke 32 penyanyi itu.

Penyanyi ini juga bakal berkongsi rahsianya yang masih lagi belum diketahui umum, termasuklah peminat-peminat fanatiknya.

Bukan sahaja tentang rahsia peribadi diri, dokumentari tersebut mengimbas kembali kerja keras penyanyi tersohor itu lebih-lebih lagi ketika di zaman kecilnya menjual kuih muih sehinggalah menaruh masa depan sebagai seorang anak seni sebelum meraih kejayaan sebagai penyanyi berprolifik tinggi.

Menurut Siti, selain menyusur perjalanan karier, dokumentari sepanjang satu jam itu akan mendekatkan lagi sisi lain penyanyi yang popular dengan lagu Fallling In Love kepada peminat-peminat setianya.

"Selalunya, dokumentari biografi akan dirakam untuk mengingati pencapaian tokoh kenamaan mahu pun individu yang banyak berjasa dan sudah meninggal dunia. Ini satu penghargaan besar dan sangat bermakna buat saya.

"Dan saya lebih awal mendapat peluang ini untuk menceritakan kisah perjalanan seni saya sepanjang 16 tahun berkecimpun dalam industri hiburan tempatan," katanya.

Antara 'orang penting' yang diwawancarakan ialah Rozi Abdul Razak yang juga pengurus dan kakak ipar kepada penyanyi itu, Jennifer Thompson (penerbit malam AIM), Zainal Alam Kadir (wartawan), Adnan Abu Hassan (komposer), Nurul Shukor (jurusolek) dan Michael Ong (pereka fesyen terkenal).

Menarik lagi, personaliti televisyen terkemuka, Najip Ali turut berkongsi pengalaman mengenali penyanyi tersohor itu dan mendedahkan bahawa Siti pernah menghadiri ujibakat program pertandingan nyanyian, Asia Bagus di Singapura sewaktu berusia 14 tahun.

Dokumentari Siti Nurhaliza diterbitkan oleh Red Communications Sdn. Bhd dan penerbit filem Pisau Cukur, Lina Tan dan pengarah filem tersebut, Bernard Chauly turut bertindak selaku penerbit eksekutif dan pengarah dokumentari berkenaan.

No comments:

Post a Comment