Saturday 24 December 2011

“Saya Tak Mahu Aibkan Jimmy” – Suhaila

“Saya Tak Mahu Aibkan Jimmy” - Suhaila
KUALA LUMPUR – Isteri Jimmy Shanley, Nursuhaila Eliani Suhaimy, enggan membalas dengan memalukan suaminya dengan menceritakan perkara-pekara yang mampu mengaibkan Jimmy secara terbuka kepada khalayak ramai.
Di dalam respon yang diberikan melalui sistem pesanan ringkas (sms) kepada Media Hiburan Online baru-baru ini, Nursuhaila atau dikenali sebagai Suhaila menyatakan bahawa Jimmy pernah dicintai dan kini merupakan bapa kepada anak yang dilahirkannya.
“Saya tidak mahu mengaibkan Jimmy. Walaupun banyak perkara yang dapat saya keluarkan untuk mengaibkanya. Kerana buruk baik pun, dia pernah bertahta di hati saya dan kini menjadi bapa anak saya,” kata Suhaila melalui sms tersebut.
Jimmy Shanley, 32, yang sebelum ini gagal membuat tuntutan taat kembali terhadap isterinya itu menceritakan kepada Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam bahawa Suhaila masih meneruskan tabiat buruk menghisap rokok dan berjudi selepas berkahwin dengannya.
Menurut Jimmy, Suhaila telah berjanji kepadanya untuk meninggalkan tabiat tersebut selepas berkahwin dan janji tersebut telah membuatkan beliau sanggup bernikah dengan isterinya itu.
Di dalam keterangannya di mahkamah, Jimmy memaklumkan bahawa isterinya pernah berjudi secara online melalui internet pada hari kedua perkahwinan mereka di rumah keluarga mertuanya.
Memburukkan keadaan, Suhaila juga dikatakan lebih gemar melayan rakan-rakannya melalui laman sosial Facebook atau Twitter dan lebih mementingkan layanan kepada kawan-kawannya berbanding suami sendiri.
Dalam perkembangan terkini, ibu Suhaila yang juga merupakan ibu mertua Jimmy, Datin Muniroh, membidas menantunya itu membuka aib anaknya dikhalayak ramai dan menyifatkan tindakan Jimmy itu sebagai tidak sayangkan mahligai yang telah dibina bersama anaknya itu.
“Mahkamah bukan pentas untuk Jimmy mengaibkan isterinya jika dia benar-benar sayangkan rumah tangganya. Bagi seorang muslim yang berpegang pada ajaran Islam, dia tidak akan membuka aib orang lain  lebih-lebih lagi aib  isterinya,” katanya kepada laman web hiburan yang sama melalui sms.
Jimmy dan Suhaila telah diijabkabulkan pada 1 Oktober 2010 lalu dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan bernama Zahrah Shaley pada 24 Jun tahun ini.

No comments:

Post a Comment