Thursday 1 December 2011

Mengerikan, otak lelaki bersepai dan kedua-dua tangan hampir putus

BUKIT MERTAJAM – Seorang lelaki berusia lingkungan 30-an mati dalam keadaan mengerikan dengan otaknya bersepai manakala kedua-dua belah tangan hampir putus selepas ditetak lewat malam kelmarin.

Kejadian sekitar jam 11.50 malam itu dikatakan berlaku ketika mangsa, seorang lelaki keturunan Cina sedang menonton televisyen di sebuah tokong dekat Kampung Besar, Berapit bersama dua rakannya sebelum didatangi empat lelaki bertopeng.
Rakan mangsa kemudian diarah beredar dari tempat kejadian dan diminta untuk tidak masuk campur kerana ia adalah urusan antara mangsa dengan penyerang.

Mangsa yang ketakutan bertindak lari menyelamatkan diri, namun dikejar dan ditetak di bahagian kepala, tangan dan badan sebelum rebah di hadapan sebuah rumah yang terletak hanya 15 meter dari tokong tersebut.

Mangsa yang tinggal di Taman Serumpun, Berapit mati serta-merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Azman Abd Lah ketika ditemui di lokasi memberitahu, berdasarkan siasatan awal, mangsa maut akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan akibat ditetak menggunakan senjata tajam.

Ditanya sama ada pembunuhan bermotifkan dendam, beliau berkata, perkara itu masih dalam siasatan dan polis tidak dapat memastikan mengenainya hingga siasatan menyeluruh dilakukan.

“Kita tidak dapat mengenal pasti wajah penyerang kerana kesemua mereka memakai topeng ski, namun mereka bertutur dalam bahasa Hokkien.
“Justeru, sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu tampil membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan gerakan memburu keempat- empat suspek sedang giat dijalankan.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat.

No comments:

Post a Comment