Monday 19 December 2011

Bengong! Curi kasut lepas itu jual dekat pemiliknya

KUALA TERENGGANU – Helah seorang lelaki untuk mendapatkan wang dengan menjual kasut yang dicurinya tidak berjaya apabila tindakan jahatnya itu terbongkar apabila secara tidak sengaja menawarkan kepada pemilik asal kasut terbabit.

Tertuduh, Samsu @ Shamsudin Musa, 41, berasal dari Kampung Seberang Pintasan, Dungun mengaku bersalah melakukan perbuatan terbabit mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Pengakuan itu dilakukan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim dan pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Miky Dunstan Muda.

Berdasarkan fakta kes, kira-kira jam 10.15 pagi pada 17 Disember lalu di Stesen Bas Kuala Dungun, seorang pemandu bas pelancong meninggalkan kasut jenama Rorine berwarna coklat miliknya di dalam bas dan memakai selipar untuk ke tandas.

Ketika dalam perjalanan kembali ke bas, pengadu terserempak dengan suspek yang kemudian menawarkan untuk menjual kasut kepadanya.

Bagaimanapun, mangsa dapat mengecam kasut itu adalah miliknya yang ditinggalkan di dalam bas berkenaan.

Pengadu kemudian membawa suspek menaiki bas dan mendapati kasutnya lesap.

Selepas disoal siasat, suspek mengaku mencuri kasut mangsa dan dia kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Abdul Hayyi menetapkan 16 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula untuk jatuh hukum di Mahkamah Majistret Dungun.

Tertuduh bagaimanapun dibenarkan diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin

No comments:

Post a Comment