Friday 23 December 2011

Angah RL terpaksa kunyah sepinggan cacing hidup

Angah dan pengarah filem Satu Malam Kubur Berasap, Ernie Chen.

PETALING JAYA: Pelawak Iskandarshah Hashim atau lebih dikenali sebagai Angah Raja Lawak akui menghadapi banyak cabaran sewaktu berlakon dalam filem Satu Malam Kubur Berasap.

Menurutnya, antara cabaran tersebut adalah melakonkan watak penghidap ‘Fei Mao’, iaitu seakan-akan budak lembam fikiran selain memerlukan dia mengunyah cacing dan tidur di dalam liang lahad.

“Saya rasa letih apabila terpaksa menghinggut bahu dan bertutur seperti penghidap penyakit “Fei Mao”.

“Selain itu saya sanggup mencabar diri untuk mengunyah sepinggan cacing hidup sebelum memuntahkannya semula.

“Bukan itu sahaja, saya juga menghadapi cabaran untuk tidur selama tiga hingga empat jam di dalam liang lahad. Waktu itu macam-macam perasaan yang menyelubungi diri saya,” kata Angah selepas tayangan media filem Satu Malam Kubur Berasap di Cathay Cineleisure, Damansara, e@curve baru-baru ini.

Para pelakon filem Satu Malam Kubur Berasap.
Walaupun melakonkan watak pemuda lurus bendul bernama Atan, namun pada Angah karakter yang dibawakan oleh Atan mampu mengundang tawa kepada penonton.

“Saya puas melakonkan watak Atan walaupun saya tidak perlu berjenaka seperti yang ditonton dalam filem-filem lakonan saya sebelum ini,” katanya yang telah melakonkan 10 buah filem.

Antara filem baru lakonannya yang belum ditayangkan adalah Adnan Sempit 2, Hantu Dalam Botol Kicap, Nongkrong, Seram Sejuk, Jidin Sengal, Taikun dan Laki-Laki.

Angah akui bersyukur selepas melakonkan watak utama dalam filem Alamak Toyol,terbitan Metrowealth (MIG) yang memberikan kepercayaan kepadanya untuk memegang watak utama dalam filem-filem lain.

Dalam perkembangan lain, Angah turut teruja dengan kertas cadangan program televisyen yang dibuat untuk dirinya dan Along Raja Lawak.

“Setakat ini, saya dimaklumkan pihak Astro telah menyiapkan kertas cadangan untuk membuat program Slim Bam yang dihoskan oleh saya dan Along.

“Program itu mempunyai konsep seperti Macam-Macam Aznil dan kami akan mengendalikan “game show” melibatkan penonton,” katanya.

Pada 26 Disember ini juga, Angah dan Along turut digandingkan dalam sebuah filem yang berkonsepkan seperti filem Home Alone.

“Saya dan Along banyak kali digandingkan bersama-sama. Mungkin mereka nampak saya dan Along ada keserasian seperti dalam Alamak Toyol,” ujarnya lagi.

No comments:

Post a Comment