Thursday 17 November 2011

Wilma si pelakon cantik kini kembali beraksi di layar perak


WILMA bakal muncul di layar perak selepas 11 tahun tidak aktif berlakon.


GHAZAL Untuk Rabiah (1997) dan Pasrah (2000), itu antara dua filem yang pernah menampilkan wanita berwajah kacukan ini semasa zaman kegemilangan menjadi aktres di dalam dunia hiburan tempatan.

Namun, selepas berkahwin pada tahun 2000, Wilma Muhammad, 38, terus menutup pintu hati untuk bergelumang dalam dunia lakonan dan menukar imej seksinya sebelum ini kepada wanita muslimah.Lantas Pasrah menjadi filem terakhir lakonannya.

"Sepanjang saya berkahwin, saya memang menjadi suri rumah sepenuh masa dan ingin memberi fokus terhadap suami dan keluarga. Tapi, saya ada juga membuat perniagaan kecil-kecilan di rumah seperti membuat kek dan sebagainya.

"Namun, setelah pemergian arwah suami saya, saya mula bekerja dan kini saya bekerja sebagai eksekutif pemasaran di syarikat rakan baik saya sendiri yang menawarkan saya jawatan tersebut," cerita Wilma serba sedikit mengenai kisah hidupnya setelah kematian suami tercinta, juruterbang Firefly, Mahir Effendi, 37, akibat serangan jantung pada Januari tahun ini.

Kini, setelah 11 tahun menyepi diri di dalam dunia lakonan, Wilma kembali dengan menjadi tonggak utama dengan memegang watak sebagai Tengku Suraya dalam filem terbaharu di bawah garapan Imran Ismail yang berjudul 1945.

Filem terbitan AAR Intelligent Sdn. Bhd., itu yang dijangka bakal memulakan penggambaran pada bulan Disember ini turut menampilkan aktor Faizal Hussein dan Yank Kassim.

Menurut Wilma, keputusan untuk kembali tampil di layar perak disebabkan oleh tawaran watak diberikan yang mencabar dan filem ini mempunyai kelainan dan kekuatan yang tersendiri.


FILEM 1945 menggandingkan Wilma dan Faizal.


"Jika ikutkan hati memang tidak terasa untuk berlakon lagi, namun ia bukanlah perkara yang sudah ditetapkan. Sebab saya terima tawaran ini kerana ia merupakan tawaran yang baik yang juga mempunyai jalan cerita yang menarik dan lain dari yang lain. Memang saya suka mencuba watak yang berlainan," jelasnya ketika ditemui di sidang akhbar di Restoran Platinum Terrasse, Jalan Genting Klang, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambahnya, keputusan ini dibuat setelah berbincang dan mendapat persetujuan serta sokongan dari keluarga dan anak-anak selain membuat solat istikharah untuk mendapat jawapan yang pasti.

Kekok di depan kamera

Akui wanita kelahiran Lahad Datu, Sabah ini, perasaan berdebar ingin kembali ke dunia glamor menyelubungi diri ketika menerima tawaran filem tersebut. Ini kerana, selama waktu rehatnya di dalam dunia seni, sememangnya fokus diri hanya kepada keluarga dan anak-anak.

"Berdebar juga apabila ingin tampil semula di layar perak setelah bertahun lamanya meninggalkan dunia ini. Skil lakonan masih ada namun kadangkala kekok juga saya apabila berhadapan dengan kamera.

"Namun, saya juga berasa teruja ingin kembali kerana ada juga terpalit perasaan rindu pada dunia lakonan selepas mengambil keputusan untuk berhenti," jelas Wilma diselangi senyuman dan ketawa kecil sepanjang sesi temuramah bersamanya itu.

Wilma dalam pada itu mengakui kemunculan dalam filem 1945 tidak semestinya bermakna dia akan kembali aktif dalam dunia lakonan.

"Walaupun kembali berlakon menerusi filem 1945, saya belum dapat membuat keputusan muktamad sama ada saya kembali aktif dalam bidang lakonan," ujarnya.

Namun, apa yang pasti, ibu tunggal lima anak iaitu Raida Taqifah,9, Athirah Inarah,7, Mahirah Aqilah,5, Muhammad Yusuf,3, dan Umar Al Farouk,2, tidak mahu terlalu sibuk bekerja sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anaknya yang ternyata memerlukan dirinya.

No comments:

Post a Comment